Pasca COVID-19: Pengusaha Pelancongan Perlu Guna Pakai Teknologi Digital

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Pengusaha pelancongan digesa mengguna pakai teknologi digital dalam perniagaan mereka, agar lebih bersedia apabila sektor berkenaan dibuka semula selepas pandemik COVID-19 kelak.

Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) Datuk Dr Noor Zari Hamad berkata pihaknya mengalu-alukan inisiatif pendigitalan yang memberi nilai tambah kepada industri berkenaan, selaras dengan Dasar Pelancongan Negara 2020-2030.

“Krisis ini sememangnya satu peluang untuk menilai semula keseluruhan industri perjalanan dan pelancongan untuk masa akan datang.

“Saya percaya tranformasi digital akan membantu menyemarakkan semula industri,” kata dalam ucaptama bertajuk ‘Leading the Way to Revive the Malaysian Tourism and Travel Industry in the Post COVID-19 sempena ekspo pelancongan yang diadakan secara maya di Virtual Tourism Expo 2021 (VTE2021)’ pada Khamis.

Noor Zari berkata antara fokus Dasar Pelancongan Negara 2020-2030 adalah menghidupkan semula pelancongan tempatan, memulihkan keyakinan pelancong untuk melancong, latihan semula dan peningkatan kemahiran, mempromosi pembangunan pelancongan mampan dan memperkukuh kerjasama awam-swasta.

Sementara itu, Presiden Persatuan Teknologi Pelancongan Digital Malaysia (DiTTAM) Rohizam Md Yusoff dalam ucapannya berkata persatuan itu menyediakan solusi digital sebagai alternatif baharu kepada industri dan pelancong.

“Kami percaya sekarang adalah masa yang sesuai untuk menginovasi dan mendidik semula serta mempelajari semula kemahiran-kemahiran baharu dan norma baharu ini telah memberi ruang kepada kita untuk mengumpul dan memfokuskan semula tenaga bagi menghasilkan sesuatu yang baharu.

“Menerusi VTE 2021 ini, kami sedaya-upaya mencuba untuk menonjolkan pameran fizikal dengan mengadakan ekspo interaktif 3D bagi pengalaman berciri tiga dimensi dan menarik, bukan sahaja kepada pengunjung tetapi juga untuk para pempamer. Ia adalah sebahagian daripada strategi DiTTAM untuk menerapkan unsur digital dalam industri pelancongan,” katanya.

Ekspo tersebut, yang merupakan kerjasama antara Tourism Malaysia, pejabat pelancongan negeri dan penggiat industri tempatan, bertujuan mempromosi pelancongan tempatan secara pemasaran maya, bagi membolehkan penggiat industri terlibat secara langsung dalam menawarkan pakej-pakej dan perkhidmatan domestik.

VTE 2021 akan diadakan secara maya selama tiga hari bermula 27 Ogos (Jumaat) dari 10 pagi hingga 10 malam, di Pusat Konvensyen Maya DiTTAM dengan penyertaan lebih 120 pempamer terdiri daripada pengusaha hotel, taman tema dan ejen pelancongan.

Pengunjung dipelawa menyertai ekspo secara percuma dengan mendaftar di laman web VTE2021 di https://vte2021.malaysiaexpo.net.

– BERNAMA

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
27,556FollowersFollow
13,813SubscribersSubscribe

Topik Hangat