RUU Anti Lompat Parti, Dewan Rakyat Hari Ini ‘Sepi’ Tanpa Suara MP Bersatu

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Ketika wakil pelbagai parti utama rancak membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) (No 3) 2022 berkaitan larangan Ahli Parlimen bertukar parti di Dewan Rakyat hari ini, tiada Ahli Parlimen (MP) BERSATU dilihat bangun mengambil bahagian.

Setakat lewat petang ini, sesi perbahasan RUU itu yang bermula sekitar jam 12 tengah hari rancak menyaksikan Ahli Parlimen mewakili pelbagai parti, tampil menyuarakan pandangan dan sokongan mereka.

Mereka mewakili Barisan Nasional (BN), PAS, PKR, DAP, Parti Amanah Negara (AMANAH), Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG), Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), Gabungan Parti Sarawak (GPS), Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Parti Sarawak Bersatu (PSB), Parti Bangsa Malaysia (PBM) dan Bebas.

Namun, setakat jam 6.20 petang, beluma ada seorang pun dalam kalangan sembilan Ahli Parlimen BERSATU yang tidak menganggotai pentadbiran kerajaan, berdiri membahaskan RUU yang mengekang tindakan lompat parti dalam kalangan wakil rakyat itu.

Sembilan Ahli Parlimen BERSATU tidak menganggotai Kabinet adalah Tan Sri Muhyiddin Yassin (Pagoh), Datuk Seri Azizah Mohd Dun (Beaufort), Datuk Mohd Fasiah Mohd Fakeh (Sabak Bernam) dan Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof (Alor Gajah).

Selain itu, Datuk Zakaria Mohd Edris (Libaran), Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Datuk Abd Rahim Bakri (Kudat), Datuk Shabudin Yahaya (Tasek Gelugor) dan Datuk Mohamaddin Ketapi (Lahad Datu).

Senarai pembahas dibacakan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun juga tidak menyebut mana-mana Ahli Parlimen BERSATU berkenaan untuk membahaskan RUU itu sehingga sesi hari ini tamat jam 8.30 malam nanti.

Bagaimanapun, Azizah dan Datuk Seri Dr Santhara Kumar (Segamat) yang juga Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, ada mencelah ketika sesi perbahasan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Mohd Redzuan ketika dihubungi BH berkata, ketiadaan wakil parti itu membahaskan RUU berkenaan hari ini mungkin kerana menunggu giliran yang ditetapkan Yang Dipertua Dewan Rakyat.

“Mungkin esok kerana kena ikut giliran. Saya tak tahu siapa (wakil BERSATU) akan berbahas, tapi saya tak berbahas kerana saya sebahagian daripada anggota Jawatankuasa Pilihan Khas yang mengkaji RUU ini,” katanya.

Sebelum ini, wujud dakwaan BERSATU menolak RUU berkenaan, namun ia dinafikan Ketua Penerangannya, Datuk Wan Saiful Wan Jan yang menegaskan parti itu komited memastikan reformasi institusi berjalan baik, malah menghantar wakil ke sesi konsultasi mengenai RUU terbabit.

Sesi perbahasan RUU Perlembagaan (Pindaan) (No 3) 2022 akan berjalan selama dua hari sehingga esok sebelum melalui proses penggulungan dan undian belah bahagian bagi memperoleh sokongan dua pertiga untuk diluluskan. – BH

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat