Kerajaan Akan Kembalikan Pengecualian Bayaran Balik PTPTN Graduan Kelas Pertama – PM

- Advertisement -

CYBERJAYA – Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini mengumumkan kerajaan akan mengembalikan keistimewaan pengecualian bayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) kepada graduan yang menamatkan pengajian ijazah sarjana muda kelas pertama.

Perdana Menteri berkata keistimewaan itu akan diberi kepada graduan yang menamatkan pengajian bermula 2019 tanpa mengira status ekonomi, bangsa dan agama mereka.

Menurut beliau lagi, keistimewaan itu adalah sebagai dorongan supaya mereka akan belajar bersungguh-sungguh sekaligus mendapat kelulusan terbaik dalam pengajian masing-masing.

“Saya berharap PTPTN dapat berbincang dengan Kementerian Kewangan berkenaan perkara ini dari segi peruntukan yang terlibat.

“Ini sebagai dorongan kepada anak-anak Keluarga Malaysia untuk belajar bersungguh-sungguh dan mendapatkan kelulusan yang terbaik dalam pengajian mereka,” kata Ismail Sabri ketika berucap merasmikan Majlis Sambutan Jubli Perak 25 Tahun PTPTN, hari ini.

Turut hadir di majlis itu ialah Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad; Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk Mohamad Alamin serta Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani.

Dalam pada itu, Perdana menteri turut memaklumkan, sehingga kini seramai 3.67 juta peminjam telah mendapat bantuan pinjaman pendidikan itu daripada PTPTN dengan keseluruhan nilai pinjaman berjumlah RM66.87 bilion.

Beliau berkata, sehingga akhir bulan lalu terdapat lebih dua juta atau 82.04 peratus peminjam sudah membayar balik pinjaman dengan jumlah kutipan sebanyak RM17.8 bilion.

“Saya percaya ramai yang sudah menamatkan pengajian memperolehi pekerjaan yang baik dan secara langsung menaikkan taraf kehidupan mereka, sekali gus menjadi aset ataupun modal insan penting kepada negara.

“Suka saya tekankan di sini bahawa membayar balik pinjaman pendidikan amat mustahak bagi menjamin kesinambungan dana kepada pelajar-pelajar baharu yang juga waris masa hadapan negara,” katanya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
27,594FollowersFollow
13,813SubscribersSubscribe

Topik Hangat