Timbalan Speaker Pun Tak Tahu Darurat Dibatal, Takiyuddin Tetap Akan Jawab Isnin Nanti

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Hari kedua Mesyuarat Khas Dewan Rakyat bermula kecoh apabila ahli-ahli Parlimen pembangkang bangkit menuntut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan menjelaskan sama ada keputusan kerajaan menarik balik semua Ordinan Darurat pada 21 Julai lalu sudah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong atau belum.

Lebih mengejutkan apabila Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Seri Azalina Othman Said juga mengakui beliau juga tidak diberitahu berhubung keputusan kerajaan mengenai pembatalan darurat.

“Sebenarnya saya pun sebagai ahli Parlimen pun dalam situasi yang agak sama (tidak dimaklumkan) dan saya percaya ramai peguam di sana dan kalau kita tengok media sosial bertanya tentang soalan yang sama.

“Tetapi memandangkan kita dalam sistem demokrasi berparlimen, saya dimaklumkan menteri undang-undang akan memberi penerangan tentan perkara ini pada Isnin, 2 Ogos,” ujar Ahli Parlimen Pengerang itu.

Bagaimanapun Takiyuddin yang juga Ahli Parlimen Kota Bharu bertegas memilih untuk mengikut ketetapan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun yang memaklumkan penerangan berkenaan pembatalan darurat itu hanya akan dibuat pada Isnin, 2 Ogos 2021.

Meskipun diasak dan dikritik oleh blok pembangkang, Takiyuddin tetap tegas akan bincangkan perkara itu pada Isnin akan datang.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menekan Takiyuddin untuk menjawab ya atau tidak berkenaan keputusan itu telah mendapat perkenan daripada Yang di-Pertuan Agong atau belum.

“Keadaan ini mendesak soalan itu melibatkan Parlimen dan kuasa Yang di-Pertuan Agong jadi oleh yang demikian soalannya spesifik kalau belum kata belum, dan umumnya ahli-ahli yang berhormat sebelah sini dan sebelah sana tahu bahawa Tuanku Agong belum perkenan.

“Jadi mengapa Perdana Menteri dan Menteri tak boleh jawab dalam proses atau kerja-kerja sedang dijalankan untuk dipersembahkan. Ini akan memudahkan perbincangan kita di Parlimen.

“Jangan buat helah umpamanya tunggu hari Isnin, kita bincang ini yang terkait dengan ordinan dan proklamasi. Menteri kata dah batal jadi kita nak tahu kalau belum beritahu sajalah bahawa saya tersilap maksud saya Kabinet yang putuskan baru nak dipersembahkan kepada Tuanku Agong dan beri ruang dipertimbang dan perkenan. Bukan mudah begitu, ini nak dolak-dalik, ronggeng ni apa?

“Tak ada kepimpinan dalam kerajaan ini cakap apa pun orang tak boleh percaya dah, perkara spesifik begini tak boleh jawab. Kalau Agong dah perkenan saya percaya semalam lagi dia dah jawab, ini suratnya. Tapi tak ada, jawablah tak ada,” kata Ahli Parlimen Port Dickson itu.

Sebaliknya, Takiyuddin berkata dalam Dewan Rakyat ada peraturan Speaker, Perdana Menteri, Ketua Pembangkang adalah subjek kepada peraturan mesyuarat.

“Saya tertakluk kepada petua Spaeker yang meminta saya beri penjelasan pada Isnin,saya bukan lari, hari Isnin, tak lari,” katanya.

Semalam, kerajaan memutuskan tidak akan menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk menyambung Proklamasi Darurat yang akan tamat pada 1 Ogos ini.

Takiyuddin, berkata kerajaan juga memutuskan berdasarkan Perkara 150(3) Perlembagaan Persekutuan, semua ordinan yang telah dibuat sepanjang tempoh Proklamasi Darurat dibatalkan.

“Saya mengesahkan bahawa kerajaan memutuskan tidak akan menasihatkan Yang di-Pertuan Agong untuk mengisytiharkan Proklamasi Darurat baru apabila ia tamat pada 1 Ogos 2021.

“Kerajaan sudah menarik balik semua ordinan darurat berkenaan pada 21 Julai lalu. Pembatalan ini menjadikan isu Proklamasi dan Ordinan Darurat tidak lagi berbangkit,” katanya.

Sebelum ini, kerajaan mengumumkan pelaksanaan beberapa ordinan sepanjang tempoh Proklamasi Darurat antaranya Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu); Ordinan Darurat (Kumpulan Wang Amanah Negara) (pindaan) 2021 dan Ordinan Darurat (Kehadiran Wajib Pesalah-Pesalah) (pindaan) 2021.

Selain itu, Ordinan Darurat (Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit) (pindaan) 2021 dan Ordinan Darurat (Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja)(pindaan) 2021, turut dilaksana dalam usaha menbendung penularan COVID-19.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat