Harapan mereka yang lengkap 2 vaksin benarkan makan di kedai, solat jemaah

- Advertisement -

ARAU : Kebenaran makan di kedai, rentas daerah dan solat berjemaah di surau antara kelonggaran yang diharapkan oleh rata-rata individu yang telah lengkap menerima dua suntikan dos vaksin Covid-19.

Noor Hakimi Kamis,56, yang telah lengkap menerima dua suntikan dos Covid-19 berkata, pada masa ini, kelonggaran tersebut sekurang-kurangnya dapat dipertimbangkan oleh kerajaan selain beberapa kelonggaran lain yang dilihat sesuai dilaksanakan.

Bagaimanapun katanya, larangan merentas negeri perlu dikekalkan pada masa ini sehingga imuniti kelompok 80 peratus penduduk menerima suntikan vaksin dapat dicapai.

Katanya, bagi konteks Perlis khususnya, dilihat tidak menjadi masalah kelonggaran tersebut diberikan khususnya solat berjemaah di surau memandangkan kes Covid-19 di Perlis terus menunjukkan penurunan selain kerap mencatatkan sifar kes kebelakangan ini.

“Kalau boleh beri kelonggaran kepada individu yang telah menerima dua dos suntikan. Kelonggaran tersebut secara tidak langsung turut memberi motivasi kepada rakyat terus mendaftar menerima suntikan vaksin.

“Hampir dua bulan sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) banyak aktiviti tidak dibenarkan dan diharapkan ia dapat diberi kelonggaran selepas ini,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Baru-baru ini, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengesahkan bahawa kelonggaran bagi individu yang melengkapkan dua dos suntikan vaksin Covid-19 diputuskan minggu depan.

Muhyiddin dilaporkan berkata, perkara itu akan dibincangkan dalam mesyuarat Majlis Pemulihan Negara seiring dengan pembukaan lebih banyak sektor ekonomi terutama di Lembah Klang pada Fasa Kedua Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Kata Muhyiddin, kelonggaran itu termasuk pergerakan untuk membeli-belah atau sekurang-kurangnya rentas daerah.

Seorang peniaga, Mohd. Romzi Mohd. Rejab,45, yang turut lengkap menerima dua dos suntikan vaksin berkata, kelonggaran makan di kedai selain kebenaran berniaga sehingga pukul 12 tengah malam perlu diberikan khususnya di negeri ini yang merekodkan penurunan kes Covid-19.

“Kalau boleh ia bermula di Perlis sebelum dilaksanakan di negeri-negeri lain mengikut perkembangan kes. Bagi yang lengkap dua dos suntikan, kelonggaran makan di kedai perlu diberikan. Sudah lama orang tidak dapat makan atau minum di kedai-kedai makan ini.

“Selepas menerima dua dos suntikan, diharap sedikit kelonggaran dapat diberikan oleh kerajaan dengan sekurang-kurangnya dapat makan di kedai dan rentas daerah,” katanya. – UTUSAN ONLINE

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat