Kementerian Akan Perkenal Dasar Pertukaran Guru Yang Lebih Efisien dan Menyeluruh

- Advertisement -

Kementerian Pendidikan Malaysia kini diperingkat akhir menyediakan dasar pertukaran guru yang lebih efisien dan menyeluruh berikutan tunggakan kes permohonan pertukaran guru banyak yang tersangkut sekian lama.

Saban tahun Kementerian Pendidikan Malaysia berhadapan ribuan permohonan pertukaran guru di seluruh negara. Jumlah terbesar dalam permohanan ini ialah kluster guru duka lara. Istilah guru duka lara diguna sejak 2016, bagi merujuk kepada kumpulan guru yang terpaksa berjauhan dengan pasangan masing-masing akibat perbezaan tempat bertugas.

Sejak 2016 juga Kementerian Pendidikan meletakkan kumpulan ini sebagai salah satu keutamaan dalam meluluskan permohonan pemindah guru.

Pada tahun lalu, Timbalan Menteri Pendidikan I, Muslimin Yahaya, menyatakan antara 2016-2020 Kementerian Pendidikan telah menyelesaikan kira-kira 60 peratus pertukaran ‘guru duka lara’ di seluruh negara.

Bagaimanapun masih ramai yang menunggu giliran pertukaran dan ini memberi dilema besar kepada kementerian pendidikan dan guru sendiri.

Guru juga manusia biasa yang mempunyai hati dan perasaan. Apabila sudah bertahun berjauhan dengan keluarga sudah tentu timbul keresahan dan hilang motivasi. Jika ini berlarutan ia boleh menjejaskan kualiti pengajaran di sekolah.

Salah satu kekangan terbesar dalam mempercepatkan kelulusan pertukaran ialah menggantikan kekosongan yang timbul akibat perpindahan tersebut.

Dalam keadaan mahu memberi keselesaan kepada guru, keutamaan dalam sektor pendidikan adalah kepentingan pelajar. Meluluskan perpindahan tanpa mempunyai guru ganti subjek yang sama boleh menjejaskan pembelajaran di sekolah.

Bagi tahun 2021 terdapat terdapat 18,118 permohonan pertukaran, dan hanya 1,958 permohonan dapat diluluskan setakat ini.

Ini mendorong Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin tampil memberi jaminan untuk membentuk polisi baharu pertukaran guru bagi membolehkan lebih ramai dapat berpindah.

Semalam, Dr Radzi Jidin mengumumkan bahawa Kementerian Pendidikan kini dalam fasa akhir menyediakan satu dasar pertukaran guru yang lebih efisien dan menyeluruh.

Polisi perpindahan guru kali ini mungkin akan berjaya dengan lebih baik berikutan Kementerian juga dalam proses mengambil guru-guru baharu. Sejak Julai lalu Kementerian Pendidikan sedang melaksanakan satu pengambilan khas membabitkan sejumlah 18,702 Pegawai Perkhidmatan Pendidikan gred DG41.

Dalam pengumuman Jun lalu Dr Radzi Jidin berkata pengambilan ‘one off’ ini bagi menampung kekurangan guru di seluruh negara dengan tumpuan kepada Sabah, Sarawak, Johor dan Selangor.

Sudah tentu pengambilan ini juga akan membolehkan kementerian menyusun semula seluruh penempatan guru dan memastikan mereka yang berpindah akan diganti dengan pengambilan baharu jika tiada dalam kalangan guru sedia ada.

“Apa yang penting, dalam menimbang permohonan pertukaran guru, KPM perlu memastikan pembelajaran murid tidak terjejas. Ini bermaksud, kekosongan jawatan dan keperluan opsyen mata pelajaran di negeri dan di tempat yang dimohon merupakan pertimbangan utama,” tulis Radzi dalam akaun media sosialnya.

Moga sesi persekolahan tahun hadapan kita bukan sahaja tidak lagi berhadapan pandemik Covid-19, malah kemelut guru duka lara dan isu kekurangan guru juga akan akan berakhir. Ini sekaligus akan meningkatkan lagi kualiti sistem persekolahan kita.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat