Adakah batal darurat ikut lunas undang-undang, diperkenan Agong? Soal Najib

- Advertisement -

KUALA LUMPUR- Datuk Seri Najib Razak mempersoalkan keabsahan kerajaan Perikatan Nasional (PN) susulan pembatalan Ordinan Darurat pada 21 Julai lalu.

Pada sidang media di Parlimen hari ini, bekas Perdana Menteri itu berkata, enam Ordinan Darurat yang dibatalkan pada tarikh berkenaan termasuk Ordinan Induk Darurat 2021 yang mana ia boleh menimbulkan persoalan dari segi kesahihan menerusi undang-undang.

“Maknanya keabsahan kerajaan bermula dari 21 Julai hingga 1 Ogos dipersoalkan. Pada pendapat saya, kenyataan semalam mengelirukan rakyat dan Ahli Parlimen,” katanya yang mendesak Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menjelaskan secara tepat dan terperinci mengenai perkara berkenaan sebelum timbul lebih banyak persoalan.

Hal demikian Najib turut membangkitkan sama ada pembatalan Ordinan Darurat mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong dan dibuat menerusi proses undang-undang.

“Dalam proses undang-undang, Kabinet mesti menasihati Agong, Agong perkenan untuk (Ordinan Darurat) dibatalkan dan ia digazetkan serta dibentangkan dalam kedua-dua Dewan (Dewan Rakyat dan Dewan Negara). Barulah lengkap dari segi undang-undang,” jelasnya.

Najib turut mempersoalkan tindakan kerajaan PN yang secara senyap-senyap menamatkan Ordinan Darurat berkenaan lima hari sebelum sidang Parlimen dibuat.

“Bolehkah ia dibuat secara ‘backdated’ atau diterkebelakangkan tarikhnya? Apakah kesan dan implikasi terhadap sebarang undang-undang yang diambil pihak berkuasa selepas 21 Julai itu mungkin boleh dipersoal atau terbatal dari segi undang-undang,” katanya.

Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Takiyuddin Hassan memaklumkan bahawa kerajaan memutuskan tidak akan menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk menyambung Proklamasi Darurat yang tamat pada 1 Ogos ini.

Katanya, kerajaan juga memutuskan berdasarkan Perkara 150(3) Perlembagaan Persekutuan, semua ordinan yang telah dibuat sepanjang tempoh Proklamasi Darurat terbatal.

“Kerajaan sudah menarik balik semua ordinan darurat berkenaan pada 21 Julai lalu. Pembatalan ini menjadikan isu Proklamasi dan Ordinan Darurat tidak lagi berbangkit,” katanya pada hari pertama Mesyuarat Khas Dewan Rakyat semalam.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat