24 Nelayan Vietnam Ditahan, Bot Kibar Bendera Indonesia

- Advertisement -

Nelayan Vietnam dikesan memasang bendera Indonesia, tetapi menggunakan nombor pendaftaran bot Sabah ketika menceroboh perairan negara ini, Jumaat lalu.

Taktik itu dipercayai dilakukan bagi mengaburi mata pihak berkuasa atau mereka menyangka berada di perairan Indonesia.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Sarawak, Laksamana Pertama Robert Teh Geok Chuan berkata, dua bot nelayan Vietnam itu dikesan KM Sri Aman di kedudukan 212 batu nautika di utara Muara Tebas pada 7.30 pagi.

Beliau berkata, KM Sri Aman mengejar dua bot berkenaan dan berjaya menahannya pada 9 pagi.

“Ketika dikesan, kedua-dua bot nelayan itu sedang menangkap ikan menggunakan jaring diharamkan di negara ini iaitu pukat ganding.

“Semua 24 kru dua bot itu berusia antara 21 hingga 55 tahun ditahan dan dibawa ke Jeti Maritim di Kompleks Maritim Tun Abang Salahuddin (KOMTAS) di Muara Tebas,” katanya di Kuching, hari ini.

Beliau berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Perikanan 1985 yang jika sabit kesalahan tekong boleh dikenakan denda sehingga RM6 juta atau dua tahun penjara, manakala awak-awak pula boleh didenda sehingga RM600,000 atau penjara dua tahun.

Beliau berkata, semua kru dua bot berkenaan sudah menjalani ujian swab Covid-19 di Klinik Kesihatan Petra Jaya, hari ini dan pihaknya sedang menunggu keputusan ujian itu.

Sementara itu, Geok Chuan berkata, sejak 24 Jun lalu, 13 bot nelayan asing dengan sebuah daripadanya Indonesia manakala selebihnya nelayan Vietnam ditahan kerana menceroboh perairan Sarawak.

Beliau berkata, sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 18 Mac hingga 24 Jun, pihaknya tidak membuat tangkapan, sebaliknya hanya menghalau bot nelayan asing dan sebelum diarah balik ke negara asal, semua peralatan mereka dirampas.

“Sebaik bermula Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) pada 24 Jun, kami mendapat kebenaran untuk menahan bot penceroboh dan hasilnya 51 nelayan Vietnam dan lima nelayan Indonesia ditahan kerana menceroboh perairan negeri ini.

“Nilai rampasan ekoran penahanan 13 bot nelayan itu dianggarkan RM6.7 juta,” katanya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat