Bank Takkan Gulung Tikar Jika Beri Moratorium Automatik – DPIA

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Institusi kewangan dan perbankan tidak akan gulung tikar sekiranya memberikan moratorium sepenuhnya kepada rakyat yang terjejas ekoran pandemik Covid-19.

Presiden Dewan Perdagangan & Industri Asean (DPIA), Datuk Sohaimi Shahadan mempertikaikan mengapa pihak kerajaan melalui Bank Negara Malaysia (BNM) tidak mengarahkan institusi kewangan melaksanakan moratorium kepada golongan B40 dan M40 secara automatik.

“Kalau perkara ini dilakukan segera secara automatik, bank-bank ini tidak akan terjejas seperti mana golongan peniaga yang makin parah hari demi hari.

“Lanjutan PKP3.0 yang tamat esok makin menimbulkan keresahan rakyat yang tidak dapat meneruskan pekerjaan, perniagaan demi kelangsungan hidup mereka,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.

Presiden Dewan Perdagangan Industri Asean Datuk Sohaimi Shahadan

Menurut Sohaimi, apabila pihak kerajaan mengumumkan sesuatu program atau melaksanakan sesuatu dasar paling penting sampai kepada kumpulan sasar.

“Kita amat risau tatkala bantuan-bantuan ini lambat sampai kepda kumpulan sasar mereka sudah hidup `nyawa-nyawa ikan’. Lebih membimbangkan dengan isu kesihatan mental hingga melibatkan nyawa yang maut,” jelasnya.

Dalam isu moratorium, beliau hairan mengapa pihak kerajaan tidak boleh melalui BNM mengarahkan supaya bank atau institusi kewangan untuk melaksanakan moratorium kepada B40 dan M40.

Jelasnya, bank-bank tidak akan gulung tikar dengan pemberian moratorium dan Kementerian Kewangan yang mengawal BNM juga mempunyai kuasa penuh ke atas bank negara tetapi tidak berani menggunakan kuasa dan mengarahkan institusi kewangan melaksanakan moratorium secara automatik.

“Kita mempunyai Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) 2021 memberikan kuasa yang cukup luas kepada kerajaan untuk membuat atau meminda apa sahaja undang-undang atau statut bagi mengarahkan moratorium.

“Ironinya, kerajaan menggunakan kuasa meminda Akta Kumpulan Wang Amanah Negara (Kwan) bagi mengambil RM5 bilion untuk program vaksinasi, amat pelik untuk membantu M40, kerajaan hilang kuasa pula.

“Kementerian kewangan tidak berani menggunakan kuasa yang sama untuk kebaikan dan melegakan rakyat,” katanya.

Tambah Sohaimi, di bawah Seksyen 5 Akta Bank Negara (2009) memperuntukkan fungsi Bank Negara untuk mengatur dan mengawal selia institusi kewangan dan Seksyen 72 pula memberikan kuasa untuk membuat apa-apa polisi monetari dan kewangan dan ini termasuklah polisi moratorium pinjaman.

“Kita percaya ini sangat dinantikan kumpulan B40 dan M40 kerana pinjaman mereka dengan bank tetap berjalan. Sekarang ini mereka tiada pendapatan, hilang kerja, gaji dipotong, jadi pihak kerajaan perlu sedar dan prihatin sebahagian besar daripada pendapatan mereka ini habis membayar hutang kepada bank.

“Kita pun hairan kerana dasar dan polisi kerajaan ini agak tidak konsisten dan adakalanya tidak boleh dipakai oleh semua lapisan. Ada kadang-kadang double standard, kilang-kilang besar diizinkan beroperasi, peniaga pasar malam, pasar pagi, kecil-kecilan, gaji harian perlu direhatkan tetapi moratorium tidak diberikan sepenuhnya,” katanya.- MalaysiaGazette

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat