KUALA LUMPUR – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno Datuk Puad Zarkashi mempertahankan tindakan Datuk Seri Najib memulakan prosiding penghinaan mahkamah terhadap bekas peguam negara Tan Sri Terrirudin Mohd Salleh.
Menurut Puad sekiranya Najib tidak cabar kes Titah Addendum ke mahkamah, rakyat tidak akan tahu titah itu wujud.
“Pejabat Peguam Negara mengecam tindakan Najib memulakan prosiding menghina Mahkamah terhadap bekas Peguam Negara Tan Sri Terrirudin Mohd Salleh.
“Tetapi kalau Najib tidak cabar kes titah addendum ke mahkamah, rakyat tidak akan tahu titah itu wujud. Apatah lagi Terriruddin menafikannya. Maka apakah tidak wajar tindakan Najib memulakan prosiding menghina mahkamah?
“Jabatan Peguam Negara (AGC) pula membuat rayuan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan itu? Maka itu signal apa? Apa lagi pilihan yang ada pada Najib apabila titah itu disorok lama dan “house arrest” juga masih tertangguh? Semoga Julai ini tidak bertangguh lagi,” kata Speaker DUN Johor itu lagi.
23 Mei lalu, Jabatan Peguam Negara mengecam tindakan bekas perdana menteri Najib yang memulakan prosiding penghinaan mahkamah terhadap bekas peguam negara Tan Sri Terrirudin Mohd Salleh.
AGC menyifatkan tindakan itu satu penyalahgunaan proses mahkamah dan secara langsung melanggar perintah Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang sebelum ini memutuskan supaya semua prosiding berkaitan titah addendum yang mengarahkan baki hukuman penjara enam tahun Najib dilaksanakan di bawah tahanan rumah ditangguhkan.