Tengku Zafrul Sangkal Najib Hutang Negara Cecah RM115.52 Bilion

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz menafikan dakwaan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak bahawa hutang negara terkini melebihi had kelulusan Belanjawan 2021 dan mencecah sehingga RM115.53 bilion.

Tengku Zafrul menjelaskan, kesemua pinjaman kerajaan setakat ini adalah berdasarkan perbelanjaan yang diluluskan di Parlimen sewaktu pembentangan Belanjawan 2021.

Beliau menegaskan, kerajaan tidak pernah menggunakan Ordinan Darurat untuk meningkatkan atau menambah perbelanjaan melebihi had siling yang diluluskan oleh Parlimen pada Ogos 2020.

Katanya, pinjaman kerajaan setakat April 2021 adalah berjumlah RM81.8 bilion dan setakat Mei adalah sekitar RM99.3 bilion, bukan RM115.53 bilion seperti didakwa sesetengah pihak.

“Jumlah RM81.8 bilion ini merangkumi RM31.6 bilion bagi membiayai semula hutang terdahulu yang matang dan RM50.2 bilion yang sememangnya digunakan untuk membiayai perbelanjaan pembangunan.

“Ini termasuk perbelanjaan daripada Kumpulan Wang Covid-19, yang mana RM17 bilion adalah untuk 2021 merangkumi inisiatif semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 dan PKP 3.0 seperti Bantuan Prihatin Rakyat, Program Subsidi Upah, Jaringan Prihatin, Geran Khas Prihatin dan program eBelia,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi video yang dipaparkan di Facebook bagi mengulas pelbagai dakwaan tidak berasas bahawa negara telah meminjam RM115.53 bilion sehingga Mei 2021 untuk berbelanja sesuka hati.

Mengulas lanjut, Tengku Zafrul berkata, melihat senarai yang dibentangkan Najib terdapat pinjaman yang dibuat PETRONAS, pinjaman yang dibuat oleh Khazanah dan hasil penjualan kepentingan Telekom dan SilTerra Malaysia.

“Secara terus terang saya tidak tahu mengapa beliau memasukkan pinjaman yang dibuat oleh PETRONAS dan Khazanah serta hasil penjualan SilTerra atau saham Telekom sebagai pinjaman kerajaan.

“Pinjaman PETRONAS dan Khazanah ialah urusan syarikat masing-masing. Mereka meminjam untuk keperluan modal dan aliran tunai syarikat. Ini hutang mereka, merekalah yang bertanggungjawab,” katanya.

Tengku Zafrul juga menegaskan kerajaan hari ini tidak bermain silap mata dalam membuat pinjaman atau perbelanjaan.

Hakikatnya, kerajaan sekarang tidak membuat pinjaman di luar belanjawan tahunan ataupun ‘off-balance sheet’, tidak seperti kerajaan terdahulu.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat