Hentikan cadangan caj kesesakan KL – Muqharabbin

- Advertisement -

KUALA LUMPUR — Ketua Bersatu Lembah Pantai, Datuk Muhamad Muqharabbin Mokhtarrudin menyeru agar pelaksanaan ‘Caj Kesesakan’ di Kuala Lumpur ditangguhkan kerana ia akan menambah tekanan hidup kepada penduduk Wilayah Persekutuan.

Beliau menegaskan bahawa sistem pengangkutan awam di Kuala Lumpur masih belum mencapai tahap yang optimum, dan pelaksanaan caj kesesakan pada masa ini adalah tidak wajar. “Kos sara hidup di KL sudah semakin meningkat, lebuhraya bertol banyak, gaji pula tidak seiring dengan kenaikan kos hidup. Kenapa perlu ditambah dengan caj kesesakan seperti yang dilakukan di beberapa negara Eropah?” soal beliau.

Muqharabbin mencadangkan agar Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dr Zaleha Mustafa, tidak meneruskan kajian mekanisma caj kesesakan.

Sebaliknya, beliau mencadangkan agar kajian tentang kos kesempitan hidup warga KL dijalankan. “Itu lebih penting dan relevan untuk rakyat,” tegasnya.

Beliau yakin bahawa majoriti warga Kuala Lumpur akan menolak cadangan caj kesesakan ini. “Saya percaya 100%, warga KL akan membantah perkara ini,” katanya.

Sebagai seorang penduduk Kuala Lumpur, Muqharabbin berkongsi pengalaman peribadi tentang kos hidup yang tinggi di bandar raya ini. “Setiap hari saya terpaksa menggunakan lebuhraya bertol, dan dalam sebulan, kos tol saya sahaja mencecah RM 300 hingga RM 400. Kadang-kadang terpaksa menggunakan motorsikal, tetapi ia tetap tidak membantu mengurangkan beban kos sara hidup yang semakin meningkat, termasuk sewa rumah, harga makanan, dan cukai-cukai lain,” ujarnya.

Beliau menyarankan agar kerajaan mencari alternatif lain untuk menambah pendapatan DBKL dan kerajaan tanpa membebankan rakyat. “Carilah cara lain untuk meningkatkan pendapatan, tetapi jangan melalui duit rakyat yang sudah terbeban. Sebagai menteri yang menjaga WP, wajar beliau mencari solusi membantu warga KL, bukan menambah beban” tegasnya.

Muqharabbin juga menekankan bahawa kajian tentang caj kesesakan tidak sepatutnya diutamakan selagi sistem pengangkutan awam di Kuala Lumpur belum mencapai tahap yang memuaskan. “Fokuslah untuk memperbaiki pengangkutan awam terlebih dahulu sebelum memikirkan caj kesesakan,” katanya.

Beliau berharap kerajaan akan mendengar rintihan rakyat dan tidak meneruskan cadangan yang boleh menambah beban hidup penduduk Kuala Lumpur.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat