KUALA LUMPUR – Pelaksanaan caj kesesakan ke atas pemandu untuk masuk ke bandar dijangka dapat mengurangkan kesesakan trafik di ibu negara sehingga 20 peratus.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa berkata, kadar caj itu tidak boleh ditetapkan terlalu rendah tetapi kepada suatu nilai yang akan ‘menghalang’ pengguna daripada melalui jalan tersebut bagi memastikan kejayaan inisiatif berkenaan.
“Namun, kerajaan juga tidak mahu caj tersebut menambah beban pengguna jika diletakkan terlampau tinggi,” katanya ketika sesi waktu pertanyaan menteri di Dewan Rakyat pada Khamis.
Beliau menjawab soalan Azman Nasrudin (PN-Padang Serai) mengenai mekanisme caj kesesakan bakal digunakan dan jumlah penurunan kesesakan yang dijangka jika dilaksanakan.
Zaliha berkata, beberapa mekanisme pelaksanaan yang digunakan di bandar antarabangsa sedang dipertimbang antaranya ‘Electronic License Plate Reader’ di New York dan ‘Electronic Road Pricing’ di Singapura.
“Selain itu, ‘Congestion Charge Zone’ di London dan ‘Road Space Rationing’ seperti di Jakarta dan Beijing,” katanya.
Mengulas lanjut, Zaliha berkata beliau senada dengan Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook bahawa penguatkuasaan caj kesesakan itu tidak sesuai dilakukan sebelum sesebuah bandar raya mempunyai integrasi sistem pengangkutan awam yang lengkap.
Katanya, ini kerana pengguna jalan raya lebih memilih untuk membawa kenderaan sendiri berbanding menaiki pengangkutan awam disebabkan kelemahan kesinambungan.
“Sesi libat urus akan terus diadakan melibatkan semua pihak berkepentingan bagi memastikan pelaksanaan yang adil, saksama serta berkesan,” katanya.
Sebelum ini, Zaliha berkata inisiatif itu dipertimbangkan dalam Pelan Induk Trafik Kuala Lumpur 2040 untuk mengurangkan kesesakan waktu puncak, dan pihaknya sedang mengkaji impak kepada pengguna dan sistem pengangkutan awam jika dilaksana.
Menurutnya, kesesakan lalu lintas memberi kerugian ekonomi RM20 bilion setahun dan menambah baik pengangkutan awam menjadi kunci menyelesaikan isu kesesakan.