KUALA LUMPUR – Kerajaan akan menggunakan MyKad sebagai rujukan utama bagi menentukan status kewarganegaraan dalam mekanisme penyasaran subsidi petrol RON95.
Menurut Kementerian Kewangan (MOF) kriteria lain seperti pemilikan kenderaan sama ada yang bermotosikal atau berkereta termasuk lokaliti penerima subsidi masih dalam penelitian pihak Kerajaan.
“Bagi penyasaran subsidi RON95, Kerajaan akan menggunakan MyKad sebagai rujukan utama bagi menentukan status kewarganegaraan. Manakala kriteria lain seperti pemilikan kenderaan sama ada yang bermotosikal atau berkereta termasuk lokaliti penerima subsidi masih dalam penelitian pihak kerajaan.
“Kerajaan juga masih meneliti pendekatan yang akan digunakan bagi menentukan julat pendapatan isi rumah bagi memastikan majoriti kumpulan 85 peratus rakyat tidak akan terjejas apabila penyasaran subsidi petrol RON95 dilaksanakan kelak,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat.
Menteri Kewangan berkata demikian menjawab soalan Ahli Parlimen Bachok Syahir Sulaiman yang meminta kerajaan menyatakan langkah bagi memastikan subsidi bersasar tidak menjejaskan kesaksamaan antara negeri-negeri, khususnya di kawasan yang bergantung pada petrol dan diesel untuk sektor-sektor utama seperti pengangkutan, pertanian dan PMKS.
Mengulas lanjut MOF berkata, kebolehlaksanaan teknologi MyKad ini terbukti berkesan dengan pelaksanaan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) iaitu bantuan bagi pembelian barangan keperluan asas terpilih sejak tahun 2024.
“Bermula 15 Januari 2025, kerajaan menyalurkan SARA melalui MyKad secara bulanan kepada 700,000 penerima miskin dan miskin tegar. Bagi tahun 2025, penyaluran bantuan SARA melalui MyKad diperluaskan ke negeri Sabah dan Sarawak berbanding hanya negeri-negeri Semenanjung Malaysia pada tahun 2024.
“Selain itu, mulai April 2025 sejumlah 5.4 juta penerima STR akan menerima bantuan tambahan SARA. Ini terdiri daripada 700 ribu penerima SARA sedia ada dan 4.7 juta penerima baharu STR. Bagi kategori isi rumah, tambahan sumbangan SARA adalah sebanyak RM100 sebulan manakala golongan warga emas tiada pasangan akan menerima sumbangan tambahan SARA sebanyak RM50 sebulan,” jelasnya.
Sementara itu, tambahnya bagi meredakan kegusaran orang ramai, kerajaan akan pastikan kaedah pelaksanaan penyasaran subsidi petrol RON95 yang menyeluruh dan berkesan sepertimana tindakan menyeluruh yang diambil dalam penyasaran subsidi diesel.
“Ini termasuklah memastikan bahawa kumpulan rakyat yang layak akan mengguna pakai mekanisme yang mudah dan holistik serta penyebaran maklumat atau penerangan penyasaran subsidi yang berkesan selain mengekang daripada berlakunya cubaan pencatutan atau kenaikan harga mendadak dalam kalangan pengusaha tidak bertanggungjawab.
“Kerajaan komited untuk terus membela nasib majoriti rakyat termasuk golongan pertengahan dalam menghadapi cabaran kos sara hidup,” katanya.
MOF juga menyatakan, pelaksanaan penyasaran subsidi RON95 yang akan dilaksanakan oleh kerajaan adalah selaras dengan penyasaran subsidi elektrik dan diesel, iaitu melibatkan penetapan harga berperingkat.
“Untuk penyasaran subsidi elektrik, pengguna elektrik dengan tahap penggunaan yang lebih tinggi dikenakan tariff elektrik yang lebih tinggi.
“Bagi penyasaran subsidi diesel pula, harga jualan runcit di pam stesen minyak ditetapkan pada harga jualan tanpa subsidi, iaitu pada masa ini 3 ringgit 18 sen seliter tetapi kenderaan sektor logistik yang layak mengguna fleet card dapat terus membeli diesel pada harga bersubsidi iaitu 2 ringgit 15 sen seliter.
“Penyasaran subsidi RON95 perlu dilaksanakan disebabkan perbezaan harga yang besar yang menyebabkan ketirisan dalam subsidi petrol dan ia telah digunakan oleh kumpulan yang tidak sepatutnya. Memandangkan perbelanjaan subsidi RON95 pada tahun 2024 hampir berjumlah 20 bilion ringgit, jika ketirisan kepada bukan warganegara, perniagaan dan kaya dapat ditangani, ianya bakal menjana penjimatan sehingga 8 bilion ringgit setahun.
“Peralihan daripada pemberian subsidi pukal dengan harga runcit bersubsidi untuk semua pengguna tanpa had kepada penyasaran subsidi memerlukan penentuan kaedah bantuan yang bersesuaian untuk diguna pakai,” ujar MOF lagi.