Rasa Tersentuh Setiap Kali Dipanggil Abah – Muhyiddin

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Tempoh memegang jawatan sebagai Perdana Menteri ketika berdepan cabaran krisis kesihatan, ekonomi serta tekanan politik adalah episod paling sukar dalam sejarah perjalanan karier politik Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Bekas Perdana Menteri itu berkata, beliau diletakkan dalam suatu keadaan di mana perlu mengemudi negara dalam waktu yang paling sukar.

“Tidak pernah berlaku dalam sejarah negara kita, malah sejarah dunia sekali pun, terjadi suatu krisis yang mengancam nyawa dan kehidupan rakyat pada skala yang besar dan berlarutan untuk suatu tempoh yang panjang.

“Kalau boleh saya katakan, menjadi Perdana Menteri dalam tempoh pandemik itu merupakan suatu episod yang paling sukar dalam sejarah politik saya,” katanya ketika pelancaran buku biografi bergambar ‘Abah Teguh Kita Bersama’ di Hotel InterContinental di sini, hari ini.

Terdahulu, Timbalan Yang Di Pertua Dewan Rakyat, Datuk Mohd Rashid Hasnon merasmikan pelancaran buku biografi berkenaan.

Buku berkenaan mengandungi kronologi, perjalanan hidup dan strategi Tan Sri Muhyiddin Yassin secara bergambar yang memberi manfaat kepada negara ini.

Muhyiddin berkata, apa yang dilakukan ketika berkhidmat sebagai Perdana Menteri walaupun dalam tempoh yang singkat mempunyai kesan yang agak mendalam kepada kehidupan rakyat.

“Mereka nampaknya menghargai apa yang saya dan kerajaan pimpinan saya lakukan untuk melindungi nyawa dan kehidupan mereka.

“Kerana itulah agaknya mereka memanggil saya Abah. Saya sendiripun tidak menjangkakan yang ramai orang baik tua atau muda memanggil saya dengan panggilan Abah. Ke mana-mana saja saya pergi orang panggil saya Abah. Saya dapat rasakan panggilan itu bukan dibuat-buat tetapi terbit dari hati nurani mereka yang jujur dan ikhlas,” katanya.

Menurutnya, beliau berasa amat tersentuh setiap kali disapa dengan panggilan Abah.

“Saya juga seorang ayah kepada empat orang anak. Sebagai seorang ayah, sepertimana saudara-saudara juga, tentulah kita mencurahkan sepenuh kasih sayang kita kepada anak-anak.

“Jadi, apabila orang memanggil saya Abah, datang suatu perasaan dalam diri saya seolahnya mereka telah merasai curahan kasih sayang saya, dan pastinya saya juga menyayangi mereka,”katanya. – HMetro

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat