Varian Baru Covid: Perjalanan Ke 7 Negara Tidak Dibenarkan Bermula Sabtu Ini

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Pengembara warga Malaysia yang merancang melawat ke tujuh negara iaitu Afrika Selatan, Botswana, Eswatini, Lesotho, Mozambique, Namibia dan Zimbabwe, tidak akan dibenarkan untuk meneruskan perjalanan mereka.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata ia merupakan inisiatif kerajaan dalam mempertingkatkan langkah pencegahan dan kawalan sempadan, termasuk bagi pengembara yang tiba di pintu masuk negara, berkuat kuasa esok.

Katanya, tiga negara telah melaporkan kes berkaitan varian baharu B.1.1.529 iaitu Afrika Selatan sebanyak 77 kes, Botswana (empat kes) dan Hong Kong (dua kes) bagaimanapun, tiada kes berkaitan varian ini dilaporkan di Malaysia berdasarkan pengawasan genomik, setakat hari ini.

“Sekatan sementara kepada semua warganegara asing yang mempunyai sejarah perjalanan dalam tempoh 14 hari ke Botswana, Eswatini, Lesotho, Mozambique, Namibia, Afrika Selatan dan Zimbabwe.

“Warganegara Malaysia dan pemegang pas penduduk tetap yang pulang ke Malaysia dari negara-negara tersebut, dibenarkan memasuki negara namun dikehendaki menjalani kuarantin wajib selama 14 hari di stesen kuarantin tanpa mengira status vaksinasi, serta tidak dibenarkan menjalani kuarantin di rumah,” katanya dalam sidang media hari ini.

Khairy berkata selain itu, sampel akan diambil dari individu yang tiba dari tujuh negara berkenaan bagi pengawasan genomik.

Katanya, pemantauan berterusan bagi pengawasan genomik dijalankan konsortium terdiri daripada Kementerian Kesihatan (KKM) melalui Institut Penyelidikan Perubatan, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi dan Kementerian Pendidikan Tinggi.

Beliau berkata KKM akan terus menjalankan pemantauan perkembangan situasi varian baharu ini di dalam dan luar negara termasuk pelaporan daripada pihak Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

“Langkah-langkah pencegahan dan kawalan serta perkembangan mengenai varian baharu B.1.1.529 ini akan dimaklumkan dari semasa ke semasa,” katanya.

Katanya menurut laporan, varian baharu ini mempunyai 32 mutasi ‘spike protein’ iaitu dua kali ganda lebih banyak daripada varian Delta dan sehingga kini, tiada maklumat lanjut bagi tempoh inkubasi, gejala dan kebolehjangkitan bagi varian B.1.1.529.

“Buat masa ini, WHO masih lagi membuat pemantauan yang rapi mengenai perkembangan yang berkaitan pelaporan varian baharu B.1.1.529.

“Buat masa ini varian baharu ini dikategorikan oleh WHO sebagai ‘Variant Under Monitoring’ (VUM). KKM memandang serius dengan kewujudan varian baharu ini, dan akan mempertingkatkan survelan genomik termasuk ke atas individu yang tiba dari negara yang melaporkan varian baharu ini,” katanya. – Bernama

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat