Harta RM1.6 juta milik penguasa kanan SPRM disita

- Advertisement -

PETALING JAYA: Siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ke atas tiga pe­gawainya yang dikaitkan de­ngan kehilangan barang kes mem­babitkan duit RM25 juta dalam kawalan agensi itu membawa kepada penyitaan sebuah rumah dan beberapa kenderaan mewah yang semuanya dianggarkan bernilai RM1.6 juta.

Harta disita ia­lah sebuah rumah di Selangor, dua motosikal jenis Ducati dan masing-masing sebuah kereta Mercedes Benz dan Honda Type R.

Rumah dan kenderaan tersebut dipercayai milik pegawai SPRM berpangkat penguasa kanan gred 44 berusia 40 tahun.

Menurut laporan Mingguan Malaysia melalui sumbernya, penyitaan dila­kukan susulan siasatan terhadap penguasa kanan berkenaan bersama dua lagi pegawainya berpangkat penguasa dan ketua penolong penguasa kanan.

Ketiga-tiga pegawai berke­naan disiasat SPRM mengikut Seksyen 23 (a) Akta SPRM 2009 kerana disyaki menyalah guna kuasa melupuskan barang kes (exhibits).

Kata sumber itu, pembongka­ran tersebut sekali gus membuk­tikan SPRM tidak mendiamkan diri dalam menjalankan siasatan melibatkan pegawai kanan agensi tersebut.

“SPRM sedang melakukan do­­kumentasi untuk mengetahui ‘asal-usul’ pemilikan semua harta itu memandangkan pe­nguasa kanan terbabit dikesan hidup mewah melebihi gaji yang sepatutnya.

“Siasatan kini tertumpu kepada penguasa kanan berkenaan kerana dia antara individu yang bertanggungjawab menyimpan ex­hibits sesuatu kes yang disiasat.

“Bagaimanapun, SPRM turut memperincikan siasatan bagi melihat rekod pemilikan wang, harta benda membabitkan dua lagi pegawai yang ditahan,” kata sumber.

Mengulas lanjut, kata sumber itu, penguasa kanan berkenaan turut disyaki terlibat dalam beberapa pelaburan dan pembelian hartanah namun setakat ini pasukan penyiasat sedang mengumpul bukti mengenai aktiviti tersebut.

Sementara itu, sumber lain memberitahu, siasatan polis membabitkan penguasa kanan berkenaan pula, dikatakan menemukan 400 butir peluru bersaiz 9 mm (milimeter) beserta tiga kelongsong peluru bersaiz 9mm serta sepucuk pistol tiruan.

Malah, pemeriksaan lanjut di rumah pegawai itu turut menemukan sepucuk senapang jenis pum gun jenama Benelli Armi selain 200 butir lagi peluru jenis 9mm dan tali sling (seutas), alat pembuka senjata (satu) serta senaskah buku manual penggunaan senjata.

“Semakan lanjut, penguasa kanan berkenaan mempunyai lesen senjata api membabitkan satu jenama lain yang dikeluarkan oleh Bahagian Perlesenan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya.

“Berdasarkan lesen penggunaan senjata api, pegawai berkenaan hanya dibenarkan untuk memiliki 100 butir peluru sahaja,” dedah sumber itu.

Sementara itu, usaha mendapatkan komen Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Azam Baki gagal kerana tidak dapat dihubungi.

Difahamkan, satu sidang akhbar khas antara SPRM dan PDRM akan dilakukan dalam masa terdekat bagi mendedahkan hasil siasatan berhubung kes berpunca daripada kecurian duit RM25 juta yang hilang daripada kawalan SPRM.

Kontroversi salah guna kuasa tiga pegawai itu tercetus susulan wang RM25 juta milik bekas Ketua Pengarah Organisasi Perisikan Luar Malaysia (MEIO), Datuk Hasanah Abdul Hamid yang disita SPRM tiga tahun lalu didakwa hilang.

Hasanah sebelum itu didakwa di mahkamah atas tuduhan melakukan pecah amanah melibatkan wang kerajaan bernilai sekitar RM50 juta namun pada April lalu dia dilepas tanpa dibebaskan.

Dalam pada itu, Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR), Tan Sri Abu Zahar Ujang berkata, masyarakat seharusnya memberi ruang secukupnya kepada SPRM menjalankan siasatan menyeluruh terhadap dakwaan pembabitan pegawai kanan dalam aktiviti salah guna kuasa dan penyelewengan tersebut.

Menurut beliau, masyarakat tidak wajar terus menerus menyerang suruhanjaya itu seolah-olah mereka sengaja melengah-lengahkan siasatan dan melindungi perbuatan tersebut.

“SPRM telah menjalankan tugas dengan profesional ketika menjalankan siasatan dan mereka dengan jelas bersedia memberi kerjasama baik kepada polis dalam berkongsi maklumat. Jadi, beri ruang SPRM untuk menyiasat,” kata beliau ketika dihubungi .

Bagaimanapun, Abu Zahar memberitahu, LPPR sudah pasti tidak berkompromi jika terdapat tindakan-tindakan yang tidak profesional dan telus terhadap mana-mana pegawai yang terbabit melakukan salah guna kuasa, penyelewengan dan rasuah dalam Suruhanjaya berkenaan.

– MINGGUAN

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat