‘Perginya seorang seniman’

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Watak dalam drama televisyen popular era 1980-an yang dibintangi, nama Anjang Aki terus melekat hingga hari ini.

Bukan setahun dua, malah Allahyarham Datuk Baharuddin Omar ‘menjunjung’ nama yang cukup istimewa di hatinya selama 40 tahun sehingga nafas terhenti, petang kelmarin.

Impak drama Anjang Aki arahan Aziz Abbas, karya Abdul Mutalib Hassan yang diterbitkan RTM pada 1981 membawa nama Allahyarham Baharuddin terbang tinggi. Malah, drama yang dibintangi Allahyarham Datuk Ismail Hudson dan Dian P Ramlee itu turut melonjakkan Abdul Mutalib selaku penulis skrip terkenal.

Jika masih ingat, karakter lelaki tua yang berjaya mendidik anak hingga menjadi Pegawai Daerah dan sentiasa memikirkan kebahagiaan anaknya itu meninggalkan impak besar, ia juga seolah-olah menggambarkan kehidupan arwah yang sebenar.

“Seorang seniman tidak ubah seperti kunang-kunang yang datang dan datang lagi pada malam kelam. Seniman seperti cermin yang dilihat orang setiap hari,” kata Allahyarham Baharuddin dalam satu temubual bersama BH.

Prinsip dan falsafah itulah meneguhkan semangat dan cita-cita arwah untuk terus berjuang dalam dunia seni penuh gelombang yang ditempuhi selama lebih lima dekad.

Bermula watak hero dalam drama Tanah Pusaka diterbitkan oleh Hashim Amir Hamzah pada 1967, arwah berjuang dalam bidang seni sehingga ke akhir hayatnya.

Darah seni mengalir dalam tubuhnya adalah legasi arwah bapanya yang juga guru aktif dalam dunia sandiwara.

Rakan seperjuangannya, Datuk Rahim Razali berkata, dia sentiasa menyanjungi bakat yang dimiliki sahabatnya itu.

Beliau menyifatkan pemergian Allahyarham Baharuddin sebagai satu kehilangan besar buat industri seni.

“Arwah, seorang yang berbakat besar dalam seni lakonan. Arwah sangat baik hati dan rakan karib saya yang mudah bekerjasama sejak awal 1950-an.

“Jadi, saya sangat bersedih atas pemergiannya. Saya kehilangan sahabat yang menyusuri onak duri bersama saya sejak kami aktif membina nama dalam dunia pementasan teater.

“Kami juga membintangi filem Abang pada 1981. Jadi, persahabatan kami sejak muda.

“Bagaimanapun, kali terakhir saya bertemu arwah, tahun lalu. Kami jarang berhubung antara satu sama lain, memandangkan sudah makin berusia sejak akhir ini. Bagaimanapun, arwah sentiasa di hati saya,” katanya.

Terdahulu, Allahyarham Baharuddin menghembuskan nafas terakhir akibat sesak nafas pada usia 85 tahun di kediamannya di Shah Alam, Selangor kira-kira jam 6.30 petang kelmarin.

Berita pemergiannya pelakon veteran kelahiran Kuang, Selangor itu disahkan oleh isterinya, Datin Nazariah Abu Bakar kepada BH Online.

Allahyarham Baharuddin meninggalkan tujuh cahaya mata dan dua anak tiri. Jenazahnya dikebumikan di Sungai Tua, Batu Caves, Selangor, jam 9 pagi, semalam.

 

Rakan seperjuangan, Datuk Rahim Razali dan Allahyarham Datuk Baharuddin Omar bergiat aktif membina nama dalam dunia pementasan teater sejak muda lagi.
Rakan seperjuangan, Datuk Rahim Razali dan Allahyarham Datuk Baharuddin Omar bergiat aktif membina nama dalam dunia pementasan teater sejak muda lagi.

 

Turut berduka atas pemergian sahabat baiknya, penyanyi dan pemain dram kumpulan Freedom, Shuaib Shaari.

Shuaib berkata, arwah seorang sahabat yang baik dan sentiasa ceria.

“Jika bercerita dengannya, arwah sentiasa gembira mengenang kisah silamnya. Beliau bukan seorang yang suka meninggi diri walaupun berpangkat Datuk.

“Selain itu, arwah suka mengimbas semula drama yang meledakkan namanya, Anjang Aki. Namun, arwah ada menyatakan rasa terkilan apabila tiada pihak yang mahu menyambung karya ini.

“Beliau menganggap penerbit menolak atas faktor usianya. Mungkin arwah sudah lupa dirinya kian berusia,” katanya.

Shuaib berkata, paling sedih, arwah memberitahunya, tiada lagi orang mengenalinya di penghujung usia.

“Dahulu, pergi ke kedai kopi, semua orang menegurnya disebabkan nama istimewa, Anjang Aki.

“Namun, sekarang tidak lagi. Arwah sedih orang tidak menegurnya, tetapi bagi saya, itu adalah perasaan normal sebab beliau sudah berusia,” katanya.

Bersyukur diberi kesempatan mengenali arwah, Shuaib berkata, dia terperanjat apabila dimaklumkan mengenai pemergiannya kerana mengetahui arwah seorang yang sihat.

“Saya dengar berita pemergian daripada rakannya. Jujurnya, saya amat terkejut kerana kami amat rapat. Kali terakhir saya mengunjungi arwah di rumahnya, dua bulan lalu. Kami banyak bergurau.

“Ketika itu, arwah kelihatan sihat, tetapi sudah banyak lupa. Disebabkan itu, arwah kerap ulang soalan sama. Contohnya, arwah tanya saya tidak bermain dram lagi? Kejap lagi, arwah ulang soalan sama.

“Arwah tengok kepala saya botak pun berulang kali ditanya kenapa botak,” katanya.

 

Penyanyi dan pemain dram kumpulan Freedom, Shuaib Shaari sempat mengunjungi Allahyarham Datuk Baharuddin Omar di kediamannya, dua bulan lalu. - Foto Shuaib Shaari
Penyanyi dan pemain dram kumpulan Freedom, Shuaib Shaari sempat mengunjungi Allahyarham Datuk Baharuddin Omar di kediamannya, dua bulan lalu. – Foto Shuaib Shaari

 

Sementara itu, pengacara popular, Datuk Aznil Nawawi berkesempatan merakamkan memori bersama Allahyarham Baharuddin menerusi program Yang Dulu.

Aznil berkata, dia bangga dapat menemubual bintang besar dalam industri seni sebelum beliau menghembuskan nafas terakhir.

Mengimbas kembali, Aznil berkata, program Yang Dulu bertujuan menghargai bintang lama termasuk Allahyarham salah seorang daripadanya.

“Arwah tidak berapa sihat ketika saya merakamkan program bersamanya, awal tahun ini. Memorinya pula semakin banyak yang terlupa.

“Namun, arwah cukup seronok apabila saya datang membuatkan rakaman mengenai dirinya. Beliau suka tengok kru, walaupun sangat minima.

“Kehadiran kami membuatkannya rasa seorang yang penting. Saya tahu, seorang bintang hidupnya memang dikelilingi rakan. Apabila rakaman program Yang Dulu dilakukan, hatinya sedih apabila sudah lama tidak ‘shooting’ dan tidak bertemu rakan seangkatannya.

“Apabila saya datang, beliau katakan kami adalah orang pertama yang datang. Saya mengiyakan sahaja, beliau orang tua mungkin sudah banyak lupa,” katanya.

Kata Aznil, sebagai seorang bintang, kehadiran rakan industri sangat penting.

“Itu sebenarnya ubat bagi penggiat industri yang sedang sakit dan tua.

“Apabila beliau sebak dan menangis, kita tahu betapa arwah merindui bidang seni yang dilalui selama berdekad,” katanya.

Tambah Aznil, pemergian arwah satu kehilangan buat industri seni, apatah lagi, beliau berdarah keturunan Minang sama sepertinya.

“Beliau berdarah Minang seperti saya. Jadi, apabila arwah bercakap Minang, saya rasa seperti berbual dengan ayah saya. Jujurnya, saya bangga mempunyai saudara berdarah Minang berjaya dalam bidang seni.

“Arwah bukan calang-calang orang apabila beliau juga pernah bergelar Presiden Presiden Persatuan Seniman Malaysia (SENIMAN) Ke-2 selama tiga penggal sejak 1978,” katanya.

Berkongsi mengenai keperibadian arwah, Aznil berkata, sifatnya tidak ubah seperti seorang bapa.

“Beliau suka bergurau dan sangat merendah diri. Beliau menggelarkan dirinya ayah kepada kami. Beliau panggil kami anak. Arwah memang seorang yang penyayang.

“Kita boleh lihat figuranya sebagai seorang bapa. Beliau banyak memberikan nasihat dan pesanan.

“Jika ada duit, jangan terlalu berbelanja. Ini kerana kita tahu artis tiada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dan sebagainya.

“Arwah juga menasihatkan kami tidak mencari musuh,” katanya.

 

Allahyarham Datuk Baharuddin Omar bersama isterinya, Datin Nazariah Abu Bakar. - Facebook Baharuddin Omar
Allahyarham Datuk Baharuddin Omar bersama isterinya, Datin Nazariah Abu Bakar. – Facebook Baharuddin Omar

 

Anak kedua daripada sembilan beradik itu banyak membintangi banyak filem hebat seperti Kisah Seorang Biduan, Darah Satria, Dia Ibuku, Irisan-Irisan Hati, Abang, Ali Setan II, Jogho, selain projek penerbitan filem antarabangsa dari Jepun dan Australia.

Selain memegang jawatan Presiden SENIMAN selama 12 tahun, beliau juga Ahli Lembaga Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) dan Ahli Lembaga Penapis Filem (LPF), Presiden Gabungan Persatuan Karyawan Filem Malaysia dan Pengerusi Persatuan Bekas Tentera Malaysia (PBTM) Cawangan Daerah Gombak.

Pernah membintangi tiga filem usaha sama Indonesia dan empat filem Jepun, arwah pernah menjadi wartawan akhbar Majlis pada 1954.

Namun, ramai wartawan berhijrah ke Singapura apabila akhbar berkenaan ditutup. Arwah enggan berhijrah disebabkan semangat nasionalisme begitu kuat.

Arwah berjinak-jinak dalam dunia pementasan teater pada awal 1950-an, kebanyakannya membawa mesej perjuangan.

Bagaimanapun, beliau menjadi mangsa keadaan apabila darurat dan anak Melayu diberi pilihan sama ada menyertai tentera British Malaya atau askar Melayu.

Ketika berusia 18 tahun, arwah mula bertugas sebagai askar Melayu di Kem Segenting, Port Dickson, Negeri Sembilan dan beberapa negeri, antaranya Pahang dan Selangor.

Arwah berkhidmat dengan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) selama 18 tahun sejak 1956 pernah melalui pengalaman berjuang dalam hutan selama enam tahun.

Perjuangannya sebagai bekas perajurit dihargai apabila menerima Pingat Jasa Malaysia (PJM) daripada bekas Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi pada 2012.

Selepas bersara, arwah mula berkhidmat dengan Radio Televisyen Malaysia (RTM) termasuk menulis skrip, menerbitkan drama dan beberapa program radio popular. Antaranya, rancangan Tokoh Islam, Nombor 5 Persiaran Satu dan Kisah dan Teladan.

Dari radio, arwah melangkah ke drama dan layar perak. Beliau juga berkebolehan sebagai pelukis apabila gambaran indah kanvas tergantung di ruang tamu hasil kerja kreatifnya.

Allahyarham pernah empat kali mendirikan rumah tangga. Menerusi isteri pertamanya, Allahyarham Salamah Alwi, mereka dikurniakan lima cahaya mata. Bagaimanapun, arwah isteri meninggal dunia pada 1975.

Arwah berkahwin dengan Jamilah Abdul Ghani dan dikurniakan seorang cahaya mata perempuan. Bagaimanapun, jodoh tidak panjang apabila berpisah selepas dikurniakan anak.

Seterusnya, arwah mendirikan rumah tangga dengan Norhayati Selamat dan dikurniakan cahaya mata lelaki. Namun, mereka juga berpisah tidak lama kemudian.

Terakhir, arwah mendirikan rumah tangga dengan Nazariah pada Disember 2006. Bagaimanapun, pasangan ini tidak dikurniakan cahaya mata.

Berita Harian

 

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat