‘Penting mutu tanpa kompromi’

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Menyorot senarai filem tempatan yang ditayangkan di saluran penstriman antarabangsa, bukan calang-calang karya mampu diketengahkan di platform yang menawarkan kandungan terbaik.

Persamaan setiap filem yang terpilih ditayangkan di platform penstriman terbabit adalah naskhah perlu memiliki kualiti tersendiri termasuk dari sudut teknikal, jalan cerita dan mencetuskan fenomena ketika ditayangkan.

Barangkali ada yang tertanya-tanya bagaimanakah cara untuk filem tempatan menembusi platform penstriman antarabangsa yang berfungsi sebagai medium promosi paling efektif apabila disaksikan penonton.

Berkongsi pengalaman apabila filem terbitannya, Roh, ditayangkan di Netflix, baru-baru ini, Amir Muhammad berkata, aspek kualiti perlu dititikberatkan penerbit yang mahu menayangkan karya di platform penstriman antarabangsa.

“Kualiti adalah kriteria utama diperlukan. Sebenarnya, tiada cara khusus, namun, selagi aspek teknikal dijaga, semua filem ada peluang. Ini berdasarkan hakikat penilaian terhadap mutu sesebuah filem adalah subjektif.

“Apabila bercakap soal kualiti, perkara yang perlu diberi fokus adalah daripada sudut gerak kerja kamera. Kita kena pastikan sudut keram atau shot ini menepati kawalan kualiti ditetapkan platform penstriman terbabit.

“Selain itu, jika mereka nampak filem Malaysia dapat meraih penonton dari dalam dan luar negara, penawar perkhidmatan sendiri yang akan mencari filem terbabit untuk ditayangkan di platform mereka,” katanya kepada BH Online.

 

Penerbit filem Roh, Amir Muhammad berkongsi aspek kualiti perlu dititikberatkan dalam karya yang mahu ditayangkan dalam platform penstriman antarabangsa.
Penerbit filem Roh, Amir Muhammad berkongsi aspek kualiti perlu dititikberatkan dalam karya yang mahu ditayangkan dalam platform penstriman antarabangsa.

 

Amir, 48, berkata, peranan ejen jualan antarabangsa turut membantu pihaknya mendapatkan slot dalam Netflix.

“Untuk tayangan Netflix, proses dibuat ejen jualan antarabangsa kami iaitu TBA Studios. Mereka berjaya mendapatkan tayangan di Netflix seluruh dunia kecuali Amerika Utara.

“Ini kerana mereka menawarkan urus niaga berbeza iaitu tayangan di pawagam dan penerbitan video.

“Untuk tayangan di Disney+, kami dihubungi sendiri wakil mereka, tahun lalu. Bagaimanapun, tayangannya terhad untuk Asia Tenggara.

“Disney+ berminat membelinya kerana mahu Roh menjadi filem Malaysia pertama yang ditayangkan di saluran itu,” katanya yang turut mengarahkan filem Susuk pada 2006.

Ternyata usaha memasarkan karya kepada Netflix menampakkan hasil apabila Roh yang diterbitkan Kuman Pictures Sdn Bhd, mendapat maklum balas positif penggiat filem luar negara yang tertarik dengan budaya tempatan yang diketengahkan dalam filem berkenaan.

“Biarpun penonton di luar negara tidak begitu memahami Roh, namun, aspek ‘look and feel’ filem berkenaan berbeza dengan apa yang pernah disaksikan.

“Pengkritik menyifatkan Roh sebagai ‘folk horror’ dan asing daripada budaya mereka.

“Latar tempat juga menjadi perhatian apabila lokasi hutan yang dipaparkan dalam Roh, iaitu bukan dari hutan di negara mereka, selain faktor Islam yang diketengahkan.

“Lebih membanggakan kami, Roh tersenarai dalam Top 10 filem paling ditonton di Netflix Malaysia selama dua minggu dan sempat mencetuskan perbincangan dalam kalangan netizen,” katanya.

 

Barisan pelakon filem Roh yang kini ditayangkan di platform penstriman antarabangsa, Netflix. - NSTP/Amirudin Sahib
Barisan pelakon filem Roh yang kini ditayangkan di platform penstriman antarabangsa, Netflix. – NSTP/Amirudin Sahib

 

Ditanya apakah Netflix menawarkannya menerbitkan filem atau drama bersiri untuk platform itu, Amir menjelaskan, perkara itu menuntut proses yang panjang dan perbincangan teliti antara kedua-dua pihak.

“Setakat ini, belum ada rezeki lagi. Lagipun, kami ingin fokus kepada penerbitan filem cereka.

“Jujurnya, kami belum bersedia untuk menghasilkan drama bersiri di mana kami fikir cara kerjanya adalah berbeza dan tidak boleh terlalu spontan,” katanya.

Roh mengisahkan kehadiran kanak-kanak perempuan aneh yang membawa ramalan ngeri dan kejadian pelik kepada sebuah keluarga miskin yang tinggal dalam hutan.

Ditayangkan di pawagam pada 6 Ogos 2020, Roh dibintangi Farah Ahmad, Mhia Farhana, Harith Haziq, Namron dan June Lojong.

April tahun lalu, Netflix dilapor mencatat peningkatan keuntungan daripada pertambahan hampir 16 juta langganan ketika pandemik COVID-19 berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan di banyak negara.

Filem Roh tersenarai dalam Top 10 filem paling ditonton di Netflix Malaysia selama dua minggu dan mencetuskan perbincangan dalam kalangan netizen.

Berita Harian

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat