KOTA KINABALU – Beberapa bulan sebelum Pilihan Raya Umum Negeri (PRN) Sabah, hala tuju Barisan Nasional (BN) dan UMNO Negeri Sabah masih berada dalam keadaan tidak menentu dan mungkin berlaku kejutan lagi.
Bulan lalu, kami mendedahkan BN Sabah di bawah pimpinan Datuk Seri Bung Moktar Raden akan bertanding secara solo dengan kerjasama longgar bersama Warisan.
Bagaimanapun selepas pendedahan tersebut, keadaan politik UMNO kian berubah apabila pucuk pimpinan BN pusat lebih cenderung untuk kerjasama dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Pakatan Harapan.
Beberapa orang Ketua UMNO Bahagian di Sabah mengakui bahawa wujud gerakan untuk mempengaruhi UMNO Sabah menukar haluan mengadakan kerjasama dengan GRS.
Nada pimpinan UMNO Sabah kini berbelah bagi. Kem Bung Moktar masih tegar menolak GRS disebalik pelbagai perbincangan dengan UMNO Pusat. Selain Bung, Ketua Penerangan UMNO Sabah, Ketua Penerangan Umno Sabah Datuk Suhaimi Nasir dan Pengarah Jentera Pilihan Raya UMNO Sabah, Jeffery Nor Mohamed adalah lantang menunjukkan penentangan terhadap kerjasama ini.
Bung juga telah mengumumkan sebahagian besar nama-nama calon yang akan bertanding dalam PRN akan datang sebagai langkah menghalang kerjasama dengan GRS.
Pengumuman calon-calon dan kawasan yang akan ditandingi termasuk kerusi yang dimenangi oleh GRS adalah salah satu taktikal politik bagi menyatukan sokongan UMNO Sabah untuk menolak kerjasama dengan GRS.
Di sebalik isyarat kem Presiden UMNO untuk UMNO Sabah mempertimbangkan kerjasama dengan GRS, Suhaimi memilih untuk terus ‘membelasah’ GRS memberi gambaran UMNO Sabah pimpinan Bung Moktar masih mengharapkan tiada kerjasama.
Walaupun beberapa pemimpin Warisan dan UMNO Sabah menafikan laporan cadangan kerjasama sebelum ini, namun beberapa hari lalu Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal memberitahu parti Warisan tidak pernah menutup pintu kerjasama dengan mana-mana pihak meskipun memutuskan untuk bertanding secara solo PRN Sabah nanti.
Di satu pihak lain, Timbalan Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan, antara yang cenderung dengan kerjasama dengan GRS dan PH. Malah Rahman yang dikatakan antara orang ‘kuat’ Presiden UMNO memberi isyarat keputusan kerjasama dengan mana-mana pihak akan dibuat selepas Hari Raya Aidilfitri nanti.
Perubahan pendirian sebahagian pimpinan UMNO Sabah turut dikesan dari tulisan di media sosial seperti bekas Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Salleh Said Keruak yang menegaskan pakatan politik mesti dibina atas dasar yang kukuh bukan sekadar strategi pilihan raya.
Adun Usukan dan juga Bendahari UMNO Sabah itu mengatakan pakatan yang terancang dengan baik bukan sahaja akan menang pilihan raya, tetapi juga memastikan kestabilan politik dan ekonomi yang berpanjangan untuk rakyat.
Pemerhati politik melihat kenyataan ini menunjukkan kecenderungan Salleh agar UMNO bekerjasama dengan parti yang membentuk kerajaan Persekutuan bagi memudahkan pembangunan negeri.
Sementara itu, beberapa Ketua UMNO Bahagian Sabah yang dulu menyokong pendirian Bung Moktar kini dikatakan mengambil sikap tunggu dan lihat.
Ada apa selepas raya?
Perubahan dalam struktur kepimpinan UMNO Sabah dijangka tidak dapat dielakkan lagi.
Sumber dalaman UMNO memberitahu SuaraTV, Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bersedia melakukan perubahan.
Sumber yang sama juga mmeberitahu sejak sebulan lalu, tiga orang Setiausaha Politik Ahmad Zahid secara konsisten merapati Ketua-Ketua UMNO Bahagian di Sabah memberi isyarat Presiden inginkan kerjasama dengan GRS dan PH dalam PRN ini.
Dengan kem Bung Moktar berterusan memberi gambaran menolak kerjasama dengan GRS dan PH seperti yang disarankan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Ahmad Zahid mungkin akan melakukan sesuatu yang drastik.
Pilihan paling lembut ialah meminta UMNO Sabah melantik Rahman Dahlan sebagai Pengarah Pilihan Raya BN Sabah yang mempunyai kuasa membuat keputusan kerjasama dan rundingan kerusi dengan GRS dan PH.
Manakala pilihan drastik ialah menyingkirkan Bung Moktar sebagai Ketua UMNO Sabah dan menggantikannya dengan Rahman Dahlan.
Hubungan baik Rahman dengan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor dan Yang Di-Pertua Negeri Sabah Tun Musa Aman akan membolehkan satu kerjasama politik yang kuat dibentuk antara BN, GRS dan PH.
Walaupun pemilihan Ketua UMNO Sabah adalah berbeza dengan negeri-negeri lain kerana ia memerlukan sokongan Ketua-Ketua UMNO bahagian, namun kem Ahmad Zahid yakin sekiranya tindakan drastik diperlukan, perubahan dapat dilaksanakan.
Sebahagian pemerhati melihat Ahmad Zahid juga mungkin mempertimbangkan Salleh Said Keruak sebagai sebahagian pasukan Rahman dalam membentuk UMNO Sabah yang baharu sebelum PRN akan datang.- SUARATV.