KUALA LUMPUR – Cara tidak bertamadun dan rimba yang mengambil tanah pihak lain sesuka hati atas nama tempat ibadat hendaklah dihentikan, kata Mufti Perlis Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin.
Menurut Dr Maza lagi, bukan cuma itu bahkan tanah-tanah kerajaan dan persendirian yang begitu banyak diceroboh di seluruh negara hendaklah dikembalikan kepada empunya.
Beliau menyatakan sokongan penuh terhadap kenyataan dan pendirian Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung isu Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman di Jalan Masjid India.
“Kenyataan Perdana Menteri itu sangat dinantikan. Kenyataan seperti itu gagal dibuat oleh banyak kepimpinan sebelum ini.
“Sokongan penuh untuk Perdana Menteri atas pendirian jelas tersebut.
“Majoriti rakyat merasa lapang dada dengan kenyataan itu. Ia bukan soal menyebelahi sesiapa, tetapi isu ‘rule of law’,” catat beliau di Fcaebook.
Jelas Mufti Perlis itu lagi, rakyat berhak bersuara dan menuntut jika ia tanah kerajaan.
“Jika tanah individu atau syarikat, mereka berhak merobohkan.
“Bukan itu sahaja, penceroboh juga hendaklah dikenakan tindakan,” katanya.
Terdahulu, Anwar bertegas supaya kontroversi tanah yang menempatkan kuil itu dikendalikan mengikut undang-undang dan menjelaskan kuil tersebut didirikan di atas sebidang tanah tanpa kebenaran pemiliknya sebelum ini mahupun sekarang.
Sehubungan itu, kata Anwar, kuil itu perlu dipindahkan dan menjelaskan kuil tersebut bukan rumah ibadat pertama yang telah dipindahkan atau dirobohkan kerana melanggar undang-undang.