KUALA LUMPUR – Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz mengakui beliau dan Menteri Pengangkutan Anthony Loke mempunyai perbezaan dalam banyak perkara.
Namun ia tidak menjadi penghalang kerana fokus utama adalah kerjasama kerajaan negeri dan Persekutuan terus terjalin demi kepentingan rakyat.
“YB Menteri, mungkin kita ada perbezaan dalam banyak perkara. Ya, mungkin saya tak berapa tinggi kalau nak dibandingkan dengan YB Menteri, yang jauh lebih besar. Besar dari segi kuasanya, besar dari segi peruntukannya.
“Namun begitu, saya percaya, serendah atau sebesar mana pun kedudukan kita, amanah seorang pemimpin tetap sam, bekerja demi kepentingan rakyat dan memudahkan kehidupan mereka.
“Rakyat tidak menilai siapa yang paling banyak mengumumkan projek. Rakyat menilai siapa yang benar-benar menyampaikan hasil yang terbaik untuk mereka. Di situlah sebenarnya rendah atau besarnya seorang pemimpin dinilai.
“Bangsa Johor halus bicara, tegasnya tidak meninggi suara, orang bertandang kami gembira, Asalkan jaga adab dan bahasa,” katanya menurut MalaysiaGazette di Kulai pada Selasa.
Beliau berkata demikan ketika berucap dalam Majlis Peluncuran Operasi Perkhidmatan Shuttle Selatan di Stesen Kerata Api Kulai, Kulai.
Sabtu lalu, Setiausaha Agung DAP itu mempelawa Onn Hafiz hadir dalam program itu dan jemputan berkenaan dipercayai susulan kenyataan Pengerusi Umno Johor itu yang mendakwa lebih rela tidak memegang jawatan daripada duduk semeja dengan DAP.
“Saya jemput beliau sekali duduk dalam kereta api bersama saya walaupun dia kata tak nak duduk dengan DAP,” katanya berucap pada Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya Pakatan Harapan Negeri Sembilan, di Seremban.
Anthony Loke yang juga Ahli Parlimen Seremban turut mengingatkan Onn Hafiz bahawa DAP masih lagi berada dalam Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan dan beliau sendiri adalah Menteri Pengangkutan.
Tambahnya, beliau juga masih duduk bersebelahan Presiden Umno merangkap Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi ketika menghadiri mesyuarat Kabinet pagi semalam.
“Tak apalah, ada orang yang ingat mereka lebih tinggi daripada orang lain walaupun dia tak berapa tinggi,” katanya.
Onn Hafiz berkata, jemputan menghadiri program itu diperoleh dalam masa yang singkat dan membuatkannya meminda dan susun semula jadualnya.
“Namun apapun keadaan, saya faham, walaupun kita sedang berada dalam suasana yang luar biasa, kita harus kekal profesional dalam melaksanakan tugasan dan tanggungjawab sebagai kerajaan demi kesejahteraan rakyat.
“Saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Kementerian Pengangkutan, KTMB, agensi-agensi berkaitan serta semua pihak yang telah bekerja keras bagi memastikan Perkhidmatan Shuttle Selatan ini dapat dilaksanakan.
“Memandangkan ada beberapa hal yang tidak dapat saya elakkan, bagi perjalanan tren pada hari ini, saya telah mewakilkan YB Fazli selaku Exco untuk meneruskan bagi pihak kerajaan negeri,” katanya.



