KUALA LUMPUR – Pakatan politik mesti dibina atas dasar yang kukuh bukan sekadar strategi pilihan raya, kata Bendahari Umno Sabah Datuk Seri Salleh Said Keruak
Menurut bekas Ketua Menteri Sabah itu, pakatan yang terancang dengan baik bukan sahaja akan menang pilihan raya, tetapi juga memastikan kestabilan politik dan ekonomi yang berpanjangan untuk rakyat.
Tegas Salleh, pakatan politik tidak boleh sekadar untuk menang pilihan raya sebaliknya ia mesti dibina atas visi yang jelas, dasar yang kukuh, dan kestabilan jangka panjang untuk mentadbir dengan berkesan.
“Banyak pakatan dibentuk berdasarkan permainan angka. Walaupun jumlah kerusi penting untuk membentuk kerajaan, pakatan yang hanya bergantung pada survival politik sering berakhir dengan perpecahan dan ketidakstabilan.
“Kestabilan adalah kunci untuk meyakinkan rakyat. Pakatan yang kukuh mesti mempunyai proses membuat keputusan yang tersusun, kepimpinan yang jelas, dan hala tuju dasar yang dipersetujui bersama,” katanya.
Beliau juga menegaskan, elakkan pakatan berasaskan kepentingan politik jangka pendek.
Hal ini katanya, pakatan sebegini mungkin menang pilihan raya, tetapi sering gagal mentadbir dengan baik kerana perebutan kuasa dalaman.
“Menang pilihan raya bukan matlamat akhir. Soalan sebenar adalah: Apa yang akan dilakukan selepas menang? Pakatan mesti ada pelan hala tuju yang jelas untuk mentadbir dengan baik.
“Ekonomi mesti menjadi keutamaan utama. Pakatan yang kuat perlu menumpukan kepada pertumbuhan ekonomi, penciptaan peluang pekerjaan, menarik pelaburan, dan mengukuhkan sumber pendapatan Sabah.
“Penyelesaian pantas diperlukan untuk isu mendesak. Rakyat mengharapkan tindakan segera terhadap kos sara hidup, pengangguran, dan masalah infrastruktur. Pakatan mesti mampu memberikan penyelesaian yang cepat.
“Menyusun semula ekonomi untuk pertumbuhan jangka panjang adalah penting. Sabah perlu mengurangkan kebergantungan kepada peruntukan persekutuan dan membangunkan model ekonomi yang lebih mampan untuk generasi akan datang,” saran Salleh.
Ujar beliau, pakatan politik mesti berpandukan tiga prinsip utama iaitu politik pembangunan memberi keutamaan kepada pertumbuhan ekonomi dan infrastruktur; politik akomodasi memastikan semua komuniti merasa dilibatkan dan diwakili dan juga politik autonomi memperkasakan hak dan keupayaan ekonomi Sabah.