Madani Tak Ikut Acuan Allah, Rasulullah Akan Gagal, Membakar Diri – Hadi

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Acuan madani yang tidak berasaskan acuan Allah dan Rasulullah pasti akan menuju kegagalan yang sama sepertimana tamadun sebelumnya dan tamadun moden yang sedang membakar dirinya sekarang.

Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, umat Islam tidak boleh terpengaruh dengan konsep Civil Society yang dibawa oleh mereka yang tidak beriman seperti Thomas Paine, John Locke, Jean-Jacques Rousseau, Montesquieu, Adam Smith, Karl Marx dan lain-lain.

“Rasulullah SAW telah menukar nama tempat hijrah daripada Yathrib atau Taibah kepada perkataan Madinah supaya menjadi panduan bagi menegakkan sebuah masyarakat madani.

“Rasulullah SAW berhijrah serta menghimpunkan kedua-dua bentuk umat, iaitu umat Islam dan umat manusia yang hidup bermasyarakat majmuk di Madinah. Lalu suasana sedemikian diuruskan dengan pelaksanaan Islam yang sempurna.

“Konsep madani yang sebenar telah berjaya dilaksanakan oleh Rasulullah SAW berpandukan nas dan ijtihad, berkonsepkan siasah syar‘iyyah dan maqasid al-syariah dari aspek tadbir urus dalam menangani realiti yang sentiasa mengalami perubahan,” jelas Hadi ketika Meet & Greet Halaqah Darul Iman di Dewan Besar, Wisma Darul Iman petang semalam.

Pada majlis tersebut beliau mengulas sebuah tajuk yang menjadi perbincangan panas beberapa hari ini iaitu ucapan yang disampaikan berkait dengan satu tema, ‘Membangun Negara Madani: Visi dan Kerangka Reformasi’.

Kata Hadi, perkataan madani yang berasal daripada bahasa al-Quran hendaklah diterjemahkan dengan makna yang sahih secara beramanah dengan ilmu Islam, sumber ilmu yang wajib dipelihara, disampaikan dan diamalkan mengikut perintah Allah SWT.

“Syeikh Abul Hasan ‘Ali al-Nadwi RH pernah menegaskan konsep Negara Hidayah, bukan Negara Jibayah. Negara Hidayah dengan maksud sebuah negara yang mengikuti jalan yang lurus. Manakala Negara Jibayah pula membawa maksud negara yang berpandukan kepada asas materialistik semata-mata.

“Al-Farabi RH juga pernah memperkenalkan istilah Al-Madinah al-Fadilah yang dikatakan sebagai reaksi kepada falsafah Aristotle daripada karyanya, ‘The Republic’.

“Dalam pada itu, Al-Farabi juga menegaskan bahawa dalam usaha melakukan perubahan untuk menjadi negara berkonsep madani tidak boleh dijayakan dengan gejala rasuah, salah laku, salah urus, zalim, pengabaian integriti dan lain-lain.

“Ibn Khaldun RH pula memperkenalkan perkataan madani dalam ilmu politik dan kemasyarakatan melalui kitabnya yang terkenal, al-Muqaddimah. Telah dijelaskan dalam karya tersebut, beliau menyatakan bahawa manusia itu secara tabiinya bersifat madani,” jelas beliau lagi.

Baru-baru ini Datuk Seri Anwar Ibrahim memperkenalkan ‘Malaysia Madani’ sebagai langkah mengangkat semula martabat negara dan dihormati semula sebagai negara makmur berteraskan enam teras utama.

Perdana Menteri berkata, enam teras itu adalah keMampanan, kesejAhteraan, Daya cipta, hormAt, keyakiNan dan Ihsan.

“Saya menaruh keyakinan tinggi Malaysia berupaya diangkat semula di persada dunia sebagai negara yang kukuh dan kuat. Kita tidak mahu Malaysia tercemar dengan skandal, permasalahan dan pertelingkahan kaum dan agama.

“Kita mahu Malaysia ini dikenali sebagai negara Madani yang mampu diangkat martabat negaranya. Salah satu negara yang harus dikenali sebagai negara makmur. Negara adil dan menolak sebarang sebarang kezaliman terhadap individu atau kaum.

“Kita mahu negara ini dikenali dengan semangat baharu dan rakyat yang faham dengan erti kemerdekaan,” katanya semasa berucap menyampaikan Amanat Perdana Menteri ‘Membangun Malaysia Madani’ di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya minggu lalu.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat