Setiausaha Agung PAS Mungkin ‘Terlepas Memo’ PN Jadi Pembangkang – Wan Saiful

- Advertisement -

CYBERJAYA – Ketua Penerangan Bersatu Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata Setiausaha Agung PAS Datuk Seri Takiyuddin Hassan mungkin “terlepas memo” mengenai keputusan Perikatan Nasional (PN) tidak menyertai kerajaan perpaduan yang dipimpin Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, lapor portal FMT.

Wan Saiful yang juga Ahli Parlimen Tasek Gelugor berkata, semua ahli Parlimen PN menghadiri taklimat bersama pengerusi gabungan, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Presiden PAS Tan Sri Abdul Hadi Awang dan Presiden Gerakan Dominic Lau berhubung keputusan kekal sebagai pembangkang.

Wan Saiful berkata, bagaimanapun dia tidak melihat Takiyuddin pada taklimat itu.

“Mungkin dia terlepas memo itu. Kami diberi taklimat tentang keperluan semak dan imbang di Parlimen dan kerajaan, jadi kami sangat jelas mengenai pendirian kami,” katanya, seperti dilaporkan portal itu, hari ini.

Lapor portal itu lagi, Takiyuddin pada pagi hari ini mengucapkan terima kasih kepada Anwar kerana menjemput PN menyertai kerajaan perpaduannya dengan berkata perkara itu akan dibincangkan dalam kalangan parti komponen gabungan itu.

Ahli Parlimen Kota Bharu juga berkata, pandangan pengundi mengenai perkara itu juga akan dipertimbangkan kerana mereka menunjukkan sokongan padu kepada PAS dan PN pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Selepas itu, Muhyiddin mengumumkan bahawa PN tidak akan menyertai kerajaan perpaduan pimpinan Pakatan Harapan (PH), sambil menambah blok itu akan memberikan semak dan imbang kepada pentadbiran Anwar.

Dalam laporan sama, Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Faiz Na’aman, berkata beliau menghormati kenyataan Takiyuddin, tetapi menegaskan hala tuju pimpinan tertinggi gabungan itu mesti dihormati.

Manakala seorang lagi pemimpin tertinggi Bersatu, yang enggan namanya disiarkan, berkata PN mungkin menyertai kerajaan perpaduan jika DAP memainkan peranan yang kurang menonjol dalam pentadbiran.

“PN hanya alah kepada DAP, bukan PH secara keseluruhan. Jadi jika Anwar boleh mengurangkan peranan DAP dalam kerajaan kepada pengaruh yang sangat kecil, PN mungkin menyertai kerajaan perpaduannya.

“Kemudian Anwar boleh mempunyai majoriti dua pertiga di Parlimen,” kata pemimpin itu.

Semalam, Anwar mengesahkan kerajaan perpaduannya terdiri daripada PH, Barisan Nasional (BN) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS), dengan sokongan daripada Ahli Parlimen Muda, Warisan dan Parti Bangsa Malaysia (PBM).

Beliau tidak menolak kemungkinan parti lain turut menyertai kerajaannya, sambil berkata beliau mengalu-alukan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan PN untuk menjadi sebahagian daripadanya.

Hari ini, Anwar mengumumkan bahawa GRS telah bersetuju untuk menyertai kerajaannya, sekali gus memberikannya majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat, kata laporan itu lagi.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat