Penghibur sampai nafas terakhir

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Andai mahu disenaraikan tokoh perfileman tempatan sejak era Seniman Agung, Allahyarham Tan Sri P Ramlee hingga kini, pasti nama insan hebat ini terselit.

Siapa tidak kenal, sutradara Allahyarham Mamat Khalid atau nama sebenar, Mohamad Mohamad Khalid, 58, yang mengejutkan dunia seni apabila menghembuskan nafas terakhir akibat serangan jantung ketika dalam perjalanan ke Hospital Slim River, Perak, pada jam 12.30 tengah malam kelmarin.

Pemergian Allahyarham Mamat yang diratapi keluarga, peminat dan penggiat seni, bagai meninggalkan ‘lubang’ besar dalam industri perfileman, apatah lagi karya garapan insan hebat ini cukup rencah budaya dan formula ‘ajaib’ yang membuatkan penonton ‘terpaku’.

Mencipta legasi sendiri, malah, tidak keterlaluan dianggap hampir menyamai kepintaran dan bakat dimiliki P Ramlee sebagai pencerita, Allahyarham Mamat diketahui ramai cukup menyintai dunia seni.

Dalam keadaan kesihatan yang tidak menentu hingga beliau pernah ditempatkan di unit rawatan rapi (ICU) di hospital akibat kepenatan dan sesak nafas, arwah Mamat terus ‘degil’ berkarya.

Pada suatu ketika, akibat komplikasi jantung, buah pinggang dan kaki yang lemah, arwah melakukan tugas pengarahan dengan berkerusi roda.

Pemergian Allahyarham Mamat diratapi keluarga, peminat dan penggiat seni, bagai meninggalkan lubang besar dalam industri perfileman, apatah lagi, karya garapannya cukup rencah budaya dan formula ajaib yang membuatkan penonton terpaku. - Foto NSTP
Pemergian Allahyarham Mamat diratapi keluarga, peminat dan penggiat seni, bagai meninggalkan lubang besar dalam industri perfileman, apatah lagi, karya garapannya cukup rencah budaya dan formula ajaib yang membuatkan penonton terpaku. – Foto NSTP

 

Terbukti, kerja pengarahan sudah sebati dalam diri adik kepada kartunis legenda, Datuk Mohammad Nor Khalid atau lebih dikenali sebagai Datuk Lat ini.

Selagi Tuhan mengizinkannya untuk berkarya, Mamat tidak akan meletakkan noktah dalam bekerja. Mereka yang mengenali arwah tahu senyuman sentiasa terukir di bibirnya.

Bagaimana arwah menggeletek dan menjentik hati penonton melalui humor dalam karyanya, begitulah keperibadian arwah yang ketika kejadian serangan jantung, teruja melayan tetamu di kafe miliknya, Sarang Art Hub di Tanjung Malim, Perak, malam kelmarin.

Andai berbicara dengan insan hebat ini, pastinya leka dengan butir bicara bersulam jenaka. Ironinya, sukar membezakan ayat yang terpacul dari bibirnya serius atau sekadar gurauan.

Seolah-olah tahu pulangnya ke negeri abadi, Allahyarham Mamat sempat menurunkan ilmu bikin filem kepada anak keempatnya, Mohd Khalid Amen ketika mereka menjayakan program dokumentari berjudul Journey To Stardom, baru-baru ini.

Berkongsi pengalaman itu, Mohd Khalid Amen, 25, memberitahu, biarpun menjadi pengisian program itu, dia dapat merasakan bagai ada sesuatu yang berlaku kepada bapanya di sebalik tindakan itu.

Akuinya, arwah yang dipanggil Papa bersungguh-sungguh menurunkan ilmu perfileman seperti proses penggambaran, karakter, penulisan skrip, muzik dan pelbagai aspek penting lain kepadanya.

 

Dalam keadaan kesihatan tidak menentu hingga pernah ditempatkan di ICU hospital akibat kepenatan dan sesak nafas, Allahyarham Mamat terus ‘degil’ berkarya.
Dalam keadaan kesihatan tidak menentu hingga pernah ditempatkan di ICU hospital akibat kepenatan dan sesak nafas, Allahyarham Mamat terus ‘degil’ berkarya.

 

Allahyarham Mamat dilahirkan di Ipoh, Perak pada 6 April 1963. Kecintaannya terhadap dunia seni dipupuk sejak kecil.

Difahamkan, minat menonton pawagam dan menggemari dunia perfileman ditentang keras bapanya.

Namun, kedegilan arwah tidak boleh dihalang. Mamat dilaporkan pernah bekerja di sebuah jabatan kerajaan sebelum beralih arah ke dunia seni.

Mamat mula berjinak-jinak dengan dunia penerbitan televisyen (TV) sebelum beralih kepada medium filem.

Karya TV seperti Pinang Durian, Rombongan Cik Kiah ke Sukan Komanwel dan Abang We antara sentuhan emasnya pada era 1990-an yang melonjakkan namanya.

Pada 2003, Mamat bertukar ke kerusi pengarah mengarahkan filem buat kali pertama menerusi karya komedi Lang Buana yang dibintangi kumpulan lawak nombor satu tanah air ketika itu, Senario.

Antara filem sentuhannya termasuklah Rock, Rock Oo!, Rock Bro!, Man Laksa, Kala Malam Bulan Mengambang, Apokalips X, Hantu Kak Limah Balik Rumah yang meraih kutipan pecah panggung.

 

Selagi Tuhan mengizinkannya berkarya, Allahyarham Mamat tidak akan meletakkan noktah dalam bekerja, malah pernah melakukan tugas pengarahan dengan berkerusi roda. - Foto NSTP
Selagi Tuhan mengizinkannya berkarya, Allahyarham Mamat tidak akan meletakkan noktah dalam bekerja, malah pernah melakukan tugas pengarahan dengan berkerusi roda. – Foto NSTP

 

Pada 2004, Mamat mencipta magis bersama Puan Sri Tiara Jacquelina menerusi karya agung, Puteri Gunung Ledang (PGL) arahan Saw Teong Hing.

Dalam projek itu, Mamat bertindak sebagai penulis untuk filem diterajui Tiara dan gandingannya, Datuk M Nasir.

Tahun ini, ketika negara berdepan pandemik COVID-19 dan industri kreatif lumpuh, filem 18 Puasa di Kampong Pisang arahan arwah meraih kutipan RM3 juta selepas 10 hari ditayangkan di platform Astro First.

Filem hasil gabungan dua karya ‘masterpiece’ Mamat iaitu Kampong Pisang dan 16 & 17 Puasa itu mencatat rekod sebagai filem tempatan paling laris di platform berkenaan.

Sepanjang berkarya, Mamat kerap menjadikan negeri kelahiran, Perak sebagai lokasi utama penggambaran. Ini menunjukkan kecintaan dan kesetiaannya kepada negeri kelahiran, asal usul dan budaya yang ditanam dalam diri sejak zaman kanak-kanak.

Arwah pernah merangkul trofi Pengarah Terbaik, Festival Filem Malaysia (FFM) sebanyak tiga kali menerusi filem Kala Malam Bulan Mengambang, Estet dan Hantu Kak Limah Balik Rumah.

Selain aktif dalam bidang perfileman, arwah juga pengasas dan pemilik kafe, Sarang Art Hub. ‘Port’ atau premis santai itu dianggap lokasi menenangkan dan mampu mencetuskan inspirasi untuk berkarya.

Berita Harian

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat