Wanita terus diperkasa dalam setiap perancangan, pelaksanaan dan inisiatif kerajaan -PM

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Kerajaan pada Mesyuarat Majlis Sosial Negara (MSN) bersetuju mewujudkan Gender Focal Point dan Gender Focal Team di setiap kementerian dan agensi sebagai usaha mengarus perdana gender dalam setiap perancangan, pelaksanaan dasar dan inisiatif kerajaan.

Susulan itu Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan melalui Kementerian Kewangan dengan kerjasama beberapa NGO wanita, diberi tanggungjawab menyediakan Gender Responsive Budget (iaitu bajet yang berasaskan data asing gender) untuk B40, bermula tahun 2023.

“Inisiatif ini akan mengenalpasti kumpulan sasar dan mengagih sumber mengikut keperluan penerima yang signifikan bilangannya, bukan sahaja kepada ibu tunggal tetapi juga untuk bapa tunggal sekiranya semakin tinggi peningkatan dalam sesebuah komuniti.

“Kerajaan juga akan menambah baik dan memperhalusi dasar, perundangan serta program yang lebih peka gender termasuk usaha pembaharuan dalam penyemakan Dasar Wanita Negara dan penggubalan Rang Undang-undang yang prihatin gender,” ucap Perdana Menteri sempena sambutan Hari Wanita ke-60 anjuran National Council of Women’s Organisations (NCWO) di Dewan Perdana Felda pada Khamis.

Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah turut mencemar hadir ke majlis berkenaan.

Selain itu Perdana Menteri berkata, Rang Undang-Undang (RUU) Anti Gangguan Seksual 2021 misalnya telah diluluskan sebulat suara oleh Dewan Rakyat pada 20 Julai 2022
dan Dewan Negara pada 11 Ogos 2022, manakala RUU Jenayah Intip dan Hendap (Anti-Stalking Law) telah dibentang untuk bacaan pertama di Dewan Rakyat pada 4 Ogos 2022.

Juga Pelan Tindakan Menangani Perkahwinan Bawah Umur juga akan diteruskan dengan yang terkini, Kedah telah menggubal semula undang-undang perkahwinan Islam yang memberikan perlindungan kepada kumpulan rentan dan lemah.

“Perkara yang sama diharap dapat diikuti di negeri-negeri yang lain agar permasalahan kahwin bawah umur ini dapat diselesaikan,” ujar Perdana Menteri.

Sesuai dengan tema sambutan ‘Keberanian Pelopor NCWO, Inspirasi Perjuangan Wanita Masa Kini’, Ismail Sabri berkata, kita semua akui bahawa peranan wanita masa kini sangat besar malah tiada noktah dan tandingannya.

“Tema ini juga amat bertepatan dan selari dengan usaha dan komitmen kerajaan bagi meningkatkan peluang dan penyertaan wanita dalam pelbagai aspek pekerjaan dan kehidupan.

“Pemerkasaan golongan wanita juga sentiasa menjadi keutamaan kerajaan kerana wanita di negara ini bukan sekadar perlu dihormati tetapi wajar diberikan pengiktirafan kerana wanita adalah tonggak pembangunan negara,” katanya.

Menurut beliau lagi, kerajaan sebelum ini telah mengumumkan penubuhan Majlis Wanita Negara, Jawatankuasa Eksekutif Wanita Negara dan Jawatankuasa Kerja Wanita Negeri bagi memperkasa peranan wanita di peringkat Persekutuan sehingga ke peringkat Negeri.

“Sewaktu Hari Wanita yang lepas, saya telah mengumumkan kebenaran bekerja di rumah (BDR) bagi wanita yang kematian suami mengikut tempoh yang bersesuaian.

“Selain itu, bagi membantu wanita menghadapi proses perceraian yang panjang, Institusi Hakam di bawah Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) dimantapkan.

“Kerajaan melalui Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) turut memperkenalkan Akta Pembiayaan Kewangan yang mana pihak bank boleh membekukan akaun bank suami sekiranya ada tuntutan nafkah di mahkamah yang tidak dilunaskan tanpa sebab yang munasabah.

“Begitu juga bagi penjawat awam jika ada yang ingkar dengan keputusan mahkamah dari segi pemberian nafkah kepada bekas isteri, pihak kerajaan juga boleh memotong terus gaji mereka untuk dibayar kepada bekas isteri ataupun anakanak mereka, surat edaran telahpun dikeluarkan oleh Ketua Setiausaha Negara dan kini sedang dilaksanakan,” katanya.

Baru-baru ini, Perdana Menteri berkata, RUU Anti Gangguan Seksual (AGS) 2021 juga berjaya diluluskan di peringkat Dewan Negara untuk dikuatkuasakan secara berperingkat.

“Sebelum ini, saya turut mengarah agar penyertaan golongan wanita dalam GLC dan GLIC sekurang-kurangnya 30 peratus sebagai Ahli Lembaga Pengarah menjelang mesyuarat agung tahunan pada tahun 2023.

“Alhamdullilah, sehingga kini, sebanyak 210 daripada 900 syarikat sendirian berhad telah mempunyai lebih 30 peratus wanita dalam lembaga pengarah syarikat,” katanya.

Tambah Ismail Sabri lagi, kerajaan juga telah memperuntukkan sebanyak RM13 juta khusus untuk memperkasa Bahagian D11 Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi Siasatan Seksual, Wanita dan Kanak-kanak, bagi memastikan kes-kes melibatkan jenayah seksual terhadap wanita dan kanak-kanak dapat diuruskan dengan lebih berkesan.

Selain itu, kerajaan turut prihatin dalam memastikan mangsa-mangsa keganasan rumah tangga mendapat perlindungan segera dengan mewujudkan Pusat Sokongan Sosial Setempat (PSSS) yang memberikan perkhidmatan psikososial kepada Keluarga Malaysia di seluruh negara.

“Sehingga Ogos 2022, seramai 591 ribu kumpulan sasar terutama golongan wanita telah mendapatkan perkhidmatan PSSS iaitu sesi bimbingan dan kaunseling.

“Semua ini merupakan komitmen kerajaan terhadap golongan wanita Keluarga Malaysia yang diharap mendapat sokongan padu daripada semua pihak,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Perdana Menteri menyatakan bagi tujuan mengupayakan wanita, ia perlu bermula daripada keperluan asas mereka iaitu kemampuan untuk
menjana pendapatan bagi kelangsungan hidup mereka dan keluarga.

“Beberapa inisiatif telah dilaksanakan antaranya melaksanakan program TEKUNNita di bawah TEKUN Nasional yang melibatkan peruntukan sebanyak RM19.9 juta bagi tahun 2022. Sehingga kini seramai 1,264 usahawan wanita telah menerima manfaat.

“Manakala, sehingga 31 Julai, seramai 265 peserta telah mendapat pembiayaan di bawah program DanaNita dengan peruntukan sebanyak RM10 juta di bawah MARA.

“Program MyKasih Kapital pula telah dilaksanakan bagi memberi bantuan asas modal perniagaan secara one-off sebanyak RM500 bagi menggalakkan wanita berniaga.

“Program ini telah bermula sejak April 2021 hingga Julai 2022 dan seramai 10,496 wanita dalam kalangan B40 telah menerima manfaat,” ujarnya.

Bukan cuma itu, malah kata Ismail Sabri lagi kerajaan juga telah memperkenalkan Program Wanita Bangkit@KPWKM yang melibatkan kerjasama strategik dengan lebih 50 agensi Kerajaan dan swasta yang menawarkan pelbagai peluang pekerjaan dan aktiviti keusahawanan, yang memberi manfaat kepada lebih 40 ribu wanita di seluruh negara.

“Negara kini berdepan cabaran utama apabila populasi perempuan pada tahun 2020 adalah 47.7 peratus iaitu hampir separuh daripada populasi Malaysia, sedangkan kadar penyertaan tenaga buruh wanita pada tahun 2021 adalah 55.5 peratus sahaja.

“Kadar ini adalah rendah jika dibandingkan dengan negara Asia Tenggara lain seperti Singapura sebanyak 69.7 peratus dan Thailand sebanyak 66.8 peratus.

“Kadar enrolmen wanita dalam semua peringkat pendidikan sama ada rendah, menengah atau tertiari adalah tinggi tetapi bagi aspek kadar penyertaan dalam pasaran buruh, penglibatan wanita adalah rendah,” katanya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat