Dari kehidupan hotel 7 bintang ke penjara, tidak mudah bagi Najib kata Anwar

- Advertisement -

Datuk Seri Najib Razak akan menghadapi masa yang sukar untuk menjalani hukuman penjara berikutan gaya hidupnya sebelum ini.

Menurut Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Najib mungkin akan mendapat layanan yang baik berbanding dirinya ketika di penjara tetapi ia masih tidak dapat mengatasi kesukaran yang Najib akan alami.

Anwar sebelum ini pernah dipenjarakan sebanyak dua kali iaitu pada 1999 dan 2015.

“Dari apa yang saya faham, daripada rakan-rakan lama saya, pegawai penjara, Najib akan diberi layanan yang lebih baik, dia akan diberikan beberapa kemudahan.

“Tetapi penjara bukanlah tempat yang selesa. Ia tempat yang sukar jika dibandingkan dengan gaya hidupnya sekarang yang seperti di hotel 7 bintang. Anda akan mengalami sesuatu yang sangat sukar dan susah,” kata Anwar dalam temu bual CNBC ketika diminta mengulas mengenai hukuman penjara ke atas Najib.

Anwar, yang merupakan bekas timbalan perdana menteri, menghabiskan hampir enam tahun di penjara selepas disabitkan empat kesalahan berkaitan rasuah pada 1999 semasa era pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamad.

Pada 2015, Anwar sekali lagi dipenjarakan selepas didapati bersalah meliwat bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan dan ketika itu Najib menjadi perdana menteri.

Anwar kemudian dibebaskan pada 2018 selepas menerima pengampunan Yang di-Pertuan Agong.

Mengimbas kembali pengalamannya, ahli parlimen Port Dickson itu berkata penggal pertamanya semasa era Mahathir adalah “lebih sukar” termasuk telah dinafikan sebarang akses untuk mendapatkan buku dan lawatan keluarga pada peringkat awal pemenjaraannya.

“Malah ketika (Pentadbiran) Najib, saya telah dihumban ke dalam lokap biasa sambil tidur berminggu-minggu di atas lantai, tanpa mengambil kira masalah tulang belakang saya atau umur saya,” katanya lagi.

Pada Selasa lalu, Najib, yang berkhidmat sebagai Perdana Menteri keenam dari 2009 hingga 2018, dihantar ke Penjara Kajang untuk menjalani hukuman penjara 12 tahun selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan berhubung tujuh pertuduhan yang dikaitkan dengan penyelewengan dana SRC International.

Dalam keputusan sebulat suara, panel lima hakim Mahkamah Persekutuan yang diketuai Ketua Hakim Negara, Tengku Maimun Tuan Mat mengekalkan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta.

Suara.tv

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat