95 Hospital Swasta Setuju Rawat Pesakit Covid-19

- Advertisement -

PUTRAJAYA – Sebanyak 130 hospital swasta di negara ini dikenal pasti mempunyai kemampuan merawat pesakit kategori tiga ke atas.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, setakat ini terdapat 210 hospital swasta, namun hanya 130 hospital yang mempunyai syarat yang diperlukan seperti kepakaran perubatan dalaman dan fasiliti.

Katanya, biarpun ada 130 hospital, namun buat masa ini 95 buah sahaja yang bersetuju untuk merawat pesakit Covid-19 manakala enam buah lagi masih belum memberikan jawapan.

“Melalui kerjasama antara kementerian dan pihak hospital swasta, kita mempunyai pertambahan keupayaan sebanyak 1,286 katil, 65 katil unit rawatan rapi (ICU) dan 54 alat ventilator.

“Ini perkembangan baik kerana kita baru mengadakan libat urus pada 23 Januari lalu. Tidak sampai seminggu, kita sudah ada hasil kerjasama,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi soal jawab sempena Taklimat Media Darurat Covid-19 Kementerian Kesihatan secara maya di sini hari ini.

Noor Hisham berkata, pelaksanaan Ordinan Darurat membolehkan semua pihak bersatu padu dan bekerjasama dalam memperkukuhkan keupayaan kapasiti, fasiliti dan sumber manusia dalam menghadapi wabak Covid-19.

“Begitu juga apabila membabitkan ubat khusus berkaitan Covid-19 iaitu vaksin yang akan diterima kelak, kita akan meminjamkan ubat terbabit kepada hospital swasta dan mereka boleh pulangkan kemudian.

“Apa yang penting, kita mempunyai kerjasama daripada pelbagai hospital membabitkan kepakaran, petugas kesihatan dan fasiliti kerana inilah yang kita harapkan dapat mengurangkan kesesakan di hospital awam,” katanya.

Ketika ditanya mengenai berapa ramai yang sudah dikuarantin di rumah, Noor Hisham berkata, beliau baru pulang melaksanakan pemantauan di Kedah dan dimaklumkan seramai 36 orang sedang menjalani perintah terbabit.

“Bagaimanapun, setiap negeri mempunyai angka dan pasukan kita sedang mengutip data terbabit,” katanya.

Dalam perkembangan mengenai pertambahan kes positif, beliau berkata, pihaknya menjangka kes Covid-19 akan turun kembali ke dua angka menjelang Mei akan datang.

“Tempoh dua minggu pertama pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 13 Januari lalu dan Ordinan Darurat bertujuan untuk mengelak lonjakan kes,” katanya.

Dalam perkembangan membabitkan keberkesanan vaksin Covid-19 keluaran Pfizer, Noor Hisham berkata, Malaysia memperoleh banyak maklumat mengenai keberkesanan vaksin terbabit selepas empat bulan pelaksanaan vaksinasi di United Kingdom (UK) dan Amerika Syarikat (AS).

“Kita lihat kesan sampingan rendah. Saya ada ramai rakan doktor di negara sana dan mereka turut menerima vaksin dan ini membolehkan, saya bertanya kesan sampingannya.

“Buat masa sekarang, vaksin Pfizer tiada kesan sampingan melainkan kesan merah di kawasan disuntik dan demam di mana ia menunjukkan badan sedang bertindak balas dengan vaksin itu,” katanya. – Utusan

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat