50 Penuntut IPTA Rugi RM200,000 Tertipu Skim Pelaburan Wang Kripto

- Advertisement -

KOTA BHARU – Akibat terpedaya dengan skim cepat kaya pembelian mata wang kripto, lebih 50 penuntut sebuah institusi pengajian tinggi awam (IPTA) di bandar ini mendakwa kerugian lebih RM200,000 apabila masing-masing membuat pelaburan antara RM1,000 hingga lebih RM10,000.

Terpikat dengan janji manis dan keuntungan didakwa boleh melebihi satu peratus sehari dan 30 peratus sebulan itu, mereka juga sanggup menggunakan wang simpanan dan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) masing-masing.

Seorang daripada mereka yang hanya mahu dikenali sebagai Amir, 21, berkata dia menyertai pelaburan membeli mata wang kripto itu apabila seorang pensyarahnya yang juga ketua atau ‘leader’ skim itu membuat iklan dalam kumpulan WhatsApp pada Jun lalu.

“Saya mula memasukkan RM138 lebih 10 kali ke lima akaun berbeza sehingga kerugian hampir RM3,900. Lebih malang, saya juga ajak adik melabur RM2,800 kerana percaya pelaburan itu memberi keuntungan selepas melihat akaun saya bertambah menjadi lebih RM9,000.

“Pada 18 Oktober akaun pelaburan saya tidak dapat dibuka lalu saya serta rakan lain sedar kami sudah ditipu sebelum membuat laporan di Balai Polis Kota Bharu, Khamis lalu,” katanya.

Seorang lagi penuntut, Johan, 21, mendakwa kerugian lebih RM2,000 apabila menyertai pelaburan berkenaan menerusi akaun atas beberapa nama pada Jun lalu selepas tertarik dengan keuntungan ditawarkan, manakala adiknya yang berada di IPTA lain melabur lebih RM2,400.

Penuntut yang mahu dikenali sebagai Yasmin, 27, berkata dia kerugian lebih RM10,000 dan sudah membuat laporan polis untuk tindakan lanjut, namun ada rakan-rakan belum membuat laporan kerana bimbang diketahui ibu bapa dan untuk mengelakkan rasa malu.

Sementara itu, Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat ketika dihubungi, berkata polis menerima 21 laporan termasuk daripada penuntut IPTA di bandar ini dengan jumlah kerugian didakwa hampir RM900,000 selepas membuat pelaburan berkenaan sejak 18 Oktober.

“Jumlah kerugian dilaporkan hampir RM900,000 dengan setiap mangsa mendakwa rugi antara RM140 hingga RM200,000 seorang. Polis menyiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan (KK),” katanya menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati dan membuat siasatan sebelum melabur bagi mengelakkan kerugian. – BH

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat