Hentikan Paranoid, Rakyat Tidak Perlu Panik!

- Advertisement -

Oleh: Dr Achmad Dzariean Mohd Nadzri,

Seawal hari ini, rakyat di seluruh negara ataupun yang mengikuti rapat perkembangan politik di tanahair pastinya tertanya-tanya atau tertunggu-tunggu dengan hasil mesyuarat khas Kabinet yang tidak dimaklumkan butirannya. Tidak ada sebarang pengumuman rasmi mengenai hasil mesyuarat tersebut, malahan tidak ada sebarang ciapan atau muat naik di media sosial oleh mana-mana anggota Kabinet berkaitan hasil keputusan mesyuarat tersebut hingga ke waktu petang.

Namun, ianya menjadi persoalan apabila tularnya rakaman video rombongan Perdana Menteri masuk mengadap ke bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong, Al Sultan Abdullah  Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah di Istana Abdul Aziz, Kuantan, Pahang.

Selepas daripada majlis mengadap tersebut juga, tidak ada juga apa-apa kenyataan rasmi yang telah dikeluarkan dan ini pastinya sangat ditunggu-tunggu oleh semua rakyat jelata ataupun mereka yang mengikuti rapat perkembangan yang berlaku pada hari ini.

Maka, rentetan daripada peristiwa ini pelbagai spekulasi sudah muncul dengan pelbagai andaian yang telah pun dilakukan. Yang pastinya, perkataan darurat itu sendiri mencatatkan carian sejumlah 49.400,000 juta di platform Google pada hari ini dan ini menandakan bahawa rakyat sememangnya sedang mencari perkaitan dengan analogi peristiwa yang berlaku pada hari ini dan perkaitannya dengan perisytiharan darurat.

Umumnya, rakyat Malaysia masih lagi kabur dan tidak jelas mengenai apakah yang dimaksudkan dengan darurat. Malah tidak dinafikan bahawa apabila kita bercakap mengenai soal darurat, stigma atau persepsi rakyat di negara ini akan lebih terdorong dan terarah kepada kronologi peristiwa darurat yang pernah diisytiharkan pada tahun 1969 yang lalu di mana darurat pada ketika itu terpaksa diisytiharkan akibat daripada isu ketegangan kaum yang berlaku pada waktu itu.

Jika dilihat kepada pendefinisian darurat itu sendiri ianya membawa maksud kepada suatu keadaan berkaitan keselamatan, ekonomi dan ketenteraman awam yang tidak dapat dikawal melalui sistem pentadbiran biasa.

Maka, secara tersuratnya dapatlah kita fahami bahawa kemungkinan darurat yang akan diisytiharkan nanti sudah pastinya akan merujuk kepada perkara serius  yang sedang berlaku di negara ini iaitu pandemik Covid19 yang sedang mencatatkan kenaikan kes dan boleh memberikan ancaman kepada keselamatan awam dan negara. Namun adakah perisytiharan darurat ini dibenarkan di dalam Perlembagaan Persekutuan?

Jawapannya ialah ianya dibenarkan dan ianya telah pun terzahir dalam Perkara 150(2), Perlembagaan Persekutuan di mana Yang di-Pertuan Agong juga boleh membuat proklamasi darurat sekiranya baginda berpuas hati ancaman darurat besar, atas sebab keselamatan negara, atau kehidupan ekonomi atau ketenteraman awam hampir benar berlaku.

Sekiranya pandemik Covid 19 dijadikan sebab atau asas kepada mengapa perisytiharan darurat terpaksa dilakukan, Malaysia bukan lah sebuah negara yang berseorangan untuk melakukan perkara tersebut. States of emergency ataupun Darurat Kesihatan ini sudah pun dilakukan dalam usaha menangani peningkatan kes pandemik Covid 19 di kebanyakan negara seperti Perancis, Amerika Syarikat, Itali, Guinea, Australia, New Zealand, Filipina dan termasuklah negara jiran kita iaitu Thailand.

Darurat kesihatan terpaksa dilakukan kerana ianya akan membenarkan pihak kerajaan di peringkat pusat dan negeri serta kementerian yang terlibat merancang dan mobilisasi peruntukan kuasa yang diberikan secara maksimum tanpa gangguan daripada pihak lain untuk memberikan tindak balas yang aktif dalam menangani krisis yang berlaku.

Seandainya darurat ini benar-benar berlaku dan tidak dapat dielakkan, rakyat tidaklah perlu panik. Pentadbiran darurat ini hanyalah bersifat sementara dan tidak kekal selamanya dan ianya terpaksa di buat bagi menyelesaikan masalah yang mengancam keselamatan negara. Walaupun perlembagaan digantung, kerajaan akan diuruskan oleh pihak eksekutif dan perjalanan kerajaan akan meliputi kesemua perkara baik di peringkat persekutuan atau pun di peringkat negeri.

Sekiranya keadaan krisis menjadi bertambah buruk, pihak tentera juga boleh dilibatkan untuk melicinkan  proses pentadbiran negara dan ia sudah pastinya akan membantu pihak kerajaan untuk bergerak seperti biasa. Pengalaman negara kita menguruskan keadaan darurat sebelum ini jelas menunjukkan bahawa kecekapan dan kesiapsiagaan pentadbiran negara berada di tahap terbaik dan bersedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan.

Apabila krisis berjaya ditamatkan dalam tempoh darurat maka keadaan pentadbiran negara akan kembali kepada keadaan biasa dan pada ketika itu lah peranan perlu dimainkan oleh semua pihak agar kita dapat bersama-sama bangkit daripada keadaan yang telah pun kita lalui agar dapat sama-sama membantu negara supaya dapat bergerak dengan lebih maju, aman dan progresif. –SuaraTV

Beliau adalah Felo Penyelidik, Institut Kajian Politik Malaysia, UUM MAPAN. Universiti Utara Malaysia.

 

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat