Faiz, Amira lega YouTuber dan personaliti media sosial tak perlu lesen

- Advertisement -

PENGGUNA media sosial mampu menarik nafas lega apabila mereka dijamin boleh menggunakan platform seperti TikTok, YouTube dan sebagainya dengan bebas.

Ia berikutan, kenyataan Menteri Komunikasi dan Multimedia (KKMM), Datuk Saifuddin Abdullah memaklumkan kerajaan akan kekal mendukung prinsip kebebasan media termasuk hak individu di media sosial.

Bahkan, tidak ada permohonan lesen dikenakan termasuk sesiapa sahaja yang membuat rakaman kandungan video untuk platform digital dan media sosial takkan didakwa.

Mengulasnya, pemuzik yang juga YouTuber popular iaitu Nur Amira Syahira Azizul Abidin atau Amira, 17, berkata selama sembilan tahun dia aktif di Youtube, memang tak pernah memohon lesen untuk penggambaran.

“Memang terkejut dan rasa pelik jugalah bila dengar kena buat lesen dahulu untuk penggambaran. Ia kerana, bagi saya jadi Youtuber ini kita bebas untuk berkarya.

“Apapun, syukur Alhamdulillah apabila cadangan lesen itu tak jadi kenyataan. Sebagai YouTuber, sewajarnya boleh berkarya bebas untuk isi kandungan siaran di saluran sendiri,” katanya.

Amira kini mempunyai seramai 2.25 juta pelanggan di saluran YouTube yang dimulakan sejak 2011 ketika dia berusia lapan tahun. Katanya, bukan mudah untuk mengumpul kepercayaan pelanggan dan penonton.

Menurut Amira, bagi saluran YouTube miliknya kekal bertahan dia kini mengguna pakai inisiatif mempelbagaikan bahan kandungan untuk dikongsikan kepada pelanggan supaya tidak bosan dan menarik jumlah tontonan yang tinggi.

Bagi Faiz Dickie yang juga personaliti media sosial pula, dia gembira apabila isu lesen untuk penggambaran itu dapat diselesaikan segera.

“Saya menyambut baik kenyataan yang dikeluarkan menteri berhubung isu lesen berkenaan. Alhamdulillah, kami mendapat hak kebebasan berkarya.

“Bagi saya, memang tidak wajar untuk mengenakan lesen penggambaran. Apatah lagi, kami yang aktif di media sosial dan YouTube ini harus sentiasa kreatif berkarya,” katanya.

Faiz yang memiliki pengikut Instagram lebih 570,000 orang berkata dia juga sedia maklum kementerian dalam usaha menambah baik akta-akta berkaitan supaya sesuai dengan keadaan masa kini.

Kata Faiz atau nama sebenar Mohd Nasrul Faiz Abu Azal, penambah baikkan untuk akta-akta itu boleh dilakukan tetapi kenalah diperbincang dengan teliti dan mengambil kira pendapat ‘pemain’ berkaitan.

Ujarnya, pada era kemodenan teknologi yang mana pengaruh media sosial dan platform digital menjadi tumpuan ramai, setiap akta yang ingin ditambah baik perlu mengambil kira pelbagai aspek keseluruhan.

Sehubungan itu, Saifuddin memaklumkan Kabinet hari ini bersetuju dengan cadangan meminda Akta Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia 1981 [Akta 244] supaya bersesuaian dengan kehendak semasa.

Katanya, ketika Akta 244 diluluskan di Parlimen pada 1981, teknologi pada masa itu berlainan dengan keadaan sekarang.

HMetro

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat