CYBERJAYA: Rafizi Ramli mengakui kekalahannya dalam pemilihan Timbalan Presiden PKR dan menzahirkan penghargaan mendalam kepada penyokong yang tetap setia mendokong idealisme perjuangannya.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini, Rafizi berkata beliau tidak pernah menyaksikan begitu ramai rakyat biasa lantang menyuarakan sokongan terhadap kempen politiknya seperti dalam pemilihan kali ini, walaupun akhirnya keputusan tidak memihak kepadanya.
“Saya terhutang budi yang amat besar kepada rakyat Malaysia biasa yang menyokong kempen saya. Terima kasih yang tidak terhingga, hanya Allah yang dapat membalas kebaikan semua,” katanya.
Beliau juga menyatakan tidak berhasrat meneruskan polemik mengenai keputusan pemilihan, namun mengulangi kritikannya terhadap sistem pengundian yang menurutnya masih menghadapi isu integriti dan ketelusan, termasuk kelemahan dalam sistem digital yang digunakan.
Rafizi, yang telah lebih dua dekad mengabdikan diri kepada perjuangan reformasi, turut berkongsi pengalaman pahit manisnya dalam politik, termasuk meninggalkan kerjaya korporat muda demi menyahut permintaan Anwar Ibrahim, serta melalui 16 kes mahkamah kerana membongkar skandal-skandal besar.
“Saya tidak pernah kecewa. Malah rasa agak lega kerana kini saya boleh kembali menjadi orang biasa, diselamatkan daripada sandiwara kuasa dan politik kelas tinggi,” ujarnya.
Rafizi juga menegaskan perjuangan politiknya bukan berasaskan jawatan atau kedudukan, sebaliknya bersandarkan idealisme untuk membina Malaysia yang majmuk, progresif, dan bebas daripada budaya rasuah.
“Saya menyertai PKR kerana idealisme ini… bukan kerana kedudukan atau kekayaan.”
Mengakhiri kenyataan, Rafizi menzahirkan rasa terharu atas sokongan berterusan daripada ahli parti dan penyokongnya, serta menyatakan hasrat untuk kekal bersama perjuangan reformasi yang telah lama diperjuangkan.