Tiada Pembatalan Pelupusan Hutang Zaman Muhyiddin – Idris Jusoh

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Kerajaan Perpaduan tidak pernah membatalkan pelupusan hutang peneroka Felda yang berjumlah RM8.3 daripada RM12.1 bilion yang dilaksanakan pemerintahan pada 2021.

Pengerusi Felda, Tan Sri Idris Jusoh menjelaskan, buat masa ini, Felda tidak dapat melaksanakan pelupusan hutang kali kedua memandangkan pelupusan yang dilaksanakan pada tahun 2021 telah memberi impak yang besar kepada aliran tunai Felda.

Kata Idris, kenyataan berkaitan pelupusan hutang Felda yang dilaporkan di media arus perdana ketika ini merupakan laporan daripada jawapan bertulis Yang Berhormat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said kepada Pertanyaan Lisan Ahli Parlimen Kuala Krau yang memaklumkan pendirian Kerajaan dan sebagai tambahan kepada jawapan Yang Berhormat Menteri.

“Saya ingin menjelaskan bahawa pelupusan sebahagian hutang peneroka Felda berjumlah RM8.3 bilion daripada jumlah keseluruhan hutang sebanyak RM12.1 bilion telah pun selesai dilaksanakan pada tahun 2021.

“Keputusan ini tidak pernah dibatalkan oleh mana-mana Kerajaan termasuk Kerajaan Perpaduan dan semua peneroka yang menandatangani perjanjian pelupusan hutang tersebut telah menikmati manfaat dengan bayaran kembali pinjaman yang jauh lebih rendah dan mampu dibayar,” jelas Idris dalam kenyataan pada Jumaat.

Buat masa ini, menurut beliau Felda tidak dapat melaksanakan pelupusan hutang kali kedua memandangkan pelupusan yang dilaksanakan pada tahun 2021 telah memberi impak yang besar kepada aliran tunai Felda.

“Bayaran kembali baki pinjaman kini akan diteruskan seperti perjanjian pelupusan hutang tersebut demi menjamin kelangsungan organisasi dan membolehkan Felda terus menjaga kebajikan warga peneroka.

“Pada masa yang sama, Kerajaan, melalui Felda tetap komited untuk terus membantu peneroka dan sedang melaksanakan pelbagai inisiatif bagi meningkatkan pendapatan peneroka Felda serta memastikan hutang mereka tidak terus meningkat,” katanya.

Tambah Idris lagi, komitmen ini telah terbukti apabila pada tahun 2022, purata produktiviti ladang peneroka telah meningkat sehingga 19.43 tan perhektar setahun berbanding 17.29 tan perhektar setahun mewakili peningkatan lebih 12 peratus.

“Ini sekali gus akan dapat memberikan pulangan pendapatan yang lebih tinggi kepada warga peneroka Felda,” ujarnya.

Hari ini media melaporkan, kerajaan tidak dapat meneruskan pelaksanaan penghapusan hutang peneroka Felda berjumlah RM8 bilion, yang diperkenalkan ketika pentadbiran kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 2021.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, berkata ini kerana penghapusan hutang peneroka Felda secara berterusan memberi impak besar terhadap aliran tunai entiti itu.

“Oleh itu, kutipan balik baki hutang atau pinjaman yang dikeluarkan hingga kini, perlu terus dilakukan sebagai sumber pendapatan Felda untuk kelangsungan organisasi serta kebajikan warga peneroka.

“Hal ini disebabkan kutipan hutang peneroka Felda adalah salah satu sumber pendapatan Felda yang penting, bersamaan dengan 10.8 peratus jumlah pendapatan jangkaan bagi tahun ini, ” katanya dalam jawapan bertulis, di Dewan Rakyat.

Beliau menjawab soalan Kamal Ashaari (PN-Kuala Krau) yang meminta Perdana Menteri menyatakan pendirian kerajaan untuk meneruskan usaha menghapuskan hutang Felda.

Pada Julai 2021, Muhyiddin yang ketika itu Perdana Menteri ke-8, mengumumkan kerajaan secara dasar bersetuju dengan cadangan Felda untuk melupuskan sebahagian pinjaman peneroka berjumlah RM8.3 bilion.

Pengerusi PN itu dilaporkan berkata, pelupusan itu akan dilaksanakan menerusi inisiatif pelarasan pinjaman peneroka secara bersyarat, terutama bagi generasi awal yang berkorban keringat dan air mata untuk membolehkan program rancangan pembangunan tanah berkenaan dijayakan.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat