Sektor Agrikomoditi Terus Diperkasa Dalam Belanjawan 2023, Manfaatkan Pekebun Kecil – Fadillah

- Advertisement -

CYBERJAYA – Belanjawan 2023 yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini merupakan komitmen kerajaan dalam memastikan kesejahteraan dan kemakmuran rakyat Malaysia terus diberi keutamaan manakala agenda pertumbuhan ekonomi negara terus diperkasa dan diberi sokongan.

Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Fadillah Yusof berkata menerusi Belanjawan 2023, ia dilihat menyasarkan semua rakyat Malaysia yang mendapat manfaat lebih besar, melalui bantuan disalurkan kepada golongan sasar termasuk penambahbaikan untuk menangani kos sara hidup dan memperkukuh jaringan keselamatan sosial untuk golongan miskin tegar serta kumpulan berpendapatan rendah dan sederhana.

“Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) menyambut baik pembentangan Belanjawan 2023 yang selaras dengan prinsip MADANI. Berteraskan nilai-nilai MADANI, Belanjawan 2023 dijangka dapat memacu pertumbuhan industri dan memberi manfaat kepada pemegang taruh Kementerian ini melalui inisiatif yang baru diumumkan oleh YAB Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan.

“Kementerian percaya, antara fokus utama yang dititikberatkan dalam Belanjawan 2023 adalah untuk menjaga kebajikan dan kesejahteraan pekebunpekebun kecil di seluruh negara serta usaha untuk terus memperkasakan sektor perladangan. Selain itu, Kementerian turut bertekad untuk memastikan daya saing negara dapat dipertingkatkan serta tatakelola kerajaan dapat ditambah baik.

“Pada tahun 2022, sektor Agrikomoditi telah menyumbang sebanyak 5.6% kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menerusi nilai eksport sebanyak RM207.3 bilion, manakala lebihan dagangan sebanyak RM146.5 bilion, sekaligus menjadi komponen terpenting dalam ekonomi Malaysia,” katanya, menerusi kenyataan kepada media hari ini.

Fadillah yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata KPK juga akan memfokuskan usaha ke arah meningkatkan penglibatan pekerja tempatan dalam sektor perladangan serta mengharapkan syarikat-syarikat perladangan bersama-sama dengan Kerajaan dalam memastikan penglibatan pekerja tempatan dalam sektor perladangan.

“Sekali gus dapat meningkatkan produktiviti dan eksport negara. Belanjawan 2023 memberi fokus kepada pembangunan sektor Agrikomoditi yang lebih bersasar terutamanya melibatkan perkara-perkara berikut seperti peruntukan RM50 juta geran sepadan untuk menggalakkan automasi sektor perladangan melalui penggunaan robotik dan Artificial Intelligence (AI) serta menggaji pekerja tempatan yang berkemahiran;

“Peruntukan RM80 juta untuk menambah baik kelestarian industri sawit dan mempergiat Kempen Menangani Anti Minyak Sawit serta peruntukan RM350 juta untuk menaikkan Paras Harga Pengaktifan (PHP) Insentif Pengeluaran Getah (IPG) daripada RM2.50 kepada RM2.70 sekilogram; dan

“Peruntukan RM50 juta untuk menggunakan teknologi Cuplump Modified Bitumen (CMB) bagi tujuan penyelenggaraan jalan,” katanya.

Beliau turut menjangkakan cabaran bagi tahun 2023 akan lebih dinamik dalam menjamin kemampanan industri Agrikomoditi negara.

“KPK bertekad untuk mendepani cabaran tersebut demi kelangsungan industri berkenaan sejajar dengan usaha meningkatkan kesejahteraan rakyat yang bergantung kepada industri Agrikomoditi.

“Selain itu, Dasar Agrikomoditi Negara 2021-2030 (DAKN2030) akan terus dijadikan asas bagi merealisasikan aspirasi rakyat Malaysia Madani,” katanya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat