Hentikan Amalan Orang Tengah, Jangan Ulangi Kelemahan LCS – PM

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan kelemahan tatakelola dalam perolehan kapal tempur pesisir (LCS) tidak wajar berulang pada masa akan datang.

Beliau yang juga Menteri Kewangan mengingatkan, amalan orang tengah harus dihentikan serta-merta dan perlu berurusan terus dengan kerajaan negara yang berkaitan.

“Keselamatan negara perlu terus terpelihara bagi menjamin keamanan dan keharmonian. Kelemahan lalu dalam tatakelola perolehan telah menjejaskan kesiapsiagaan pertahanan negara.

“Perolehan kapal LCS yang telah menelan belanja lebih RM6 bilion, namun satu kapal belum dapat disiapkan. Ketelanjuran seperti ini tidak boleh diulangi.

“Mulai sekarang, amalan orang tengah harus dihentikan serta-merta dan perlu terus berurusan dengan Kerajaan negara yang berkaitan,” tegasnya ketika pembentangan Belanjawan 2023 di Dewan Rakyat pada Jumaat.

Sementara itu menurut Anwar, bagi tahun 2023, Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kementerian Pertahanan (KEMENTAH) masing-masing diperuntukkan sejumlah RM18.5 bilion dan 17.7 bilion.

“Keutamaan peruntukan ini adalah untuk menyelenggara dan membeli aset-aset Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bagi meningkatkan kesiapsiagaan pertahanan dengan peruntukan hampir RM4.1 bilion.

“Bagi mengukuhkan keupayaan tahap pertahanan dan Kawalan maritim negara, Kerajaan akan juga melaksanakan perolehan Littoral Mission Ship (LMS) pada tahun ini.

“Sementara itu, agensi-agensi di bawah KDN akan disediakan hampir 1 bilion bagi memperkasa keselamatan dalam negeri antaranya untuk memperoleh lebih 2,100 unit kamera badan PDRM,” ujarnya.

Selain itu, Anwar juga memberitahu sebuah Ibu Pejabat Kontinjen Perak dan kuarters polis baharu akan dibina dengan kos RM450 juta.

“Kerajaan akan menambah 42 pos kawalan sempadan polis PGA, Imigresen, ESSCOM dan APMM bagi memperketat kawalan sempadan negara selain menyelenggara semua kapal dan bot APMM,” ujarnya.

Aspek kebajikan angkatan bersenjata negara akan terus dipelihara, kata Anwar.

“Lebih RM500 juta disediakan untuk menyelenggara Rumah Keluarga Angkatan Tentera dan membaik pulih kuarters kediaman dan institusi di bawah KDN.

“Bagi membantu pemilikan rumah mampu milik bagi ATM secara berfasa, Kerajaan akan membina lebih 7 ribu unit rumah mampu milik di bawah Program Satu Anggota Satu Rumah (SASaR) di Kuala Lumpur,” katanya.

Tambah beliau, menurut peraturan semasa, anggota yang meninggalkan perkhidmatan atau bersara tidak berpencen perlu membuat penyelesaian penuh baki pembiayaan LPPSA.

“Mengambil kira keresahan dan beban yang perlu ditanggung, Kerajaan bersetuju supaya LPPSA menawarkan peluang untuk anggota meneruskan bayaran balik baki pinjaman seperti biasa sehingga selesai.

“Usaha ini membolehkan 4,000 peminjam LPPSA layak menstruktur semula pembiayaan mereka dan 700 peminjam bakal bersara tidak berpencen setiap setahun dapat meneruskan bayaran balik pinjaman seperti biasa.

“Kerajaan memahami kekhuatiran veteran ATM yang menghadapi kesukaran mendapat pekerjaan selepas umur persaraan.

“Tekad saya, untuk pastikan, veteran ATM disediakan pekerjaan dan kemudahan latihan,” kata Anwar.

Menurut beliau, pentadbiran ini akan melaksanakan Program Kerjaya Kedua Veteran ATM menerusi kerjasama LTAT. Di bawah ikhtiar ini,
seramai 5,000 veteran ATM yang berpencen tahun ini akan dijamin dipadankan dengan peluang pekerjaan atau menerima latihan kemahiran untuk meningkatkan peluang menjana pendapatan.

“Untuk meningkatkan kemahiran 1,250 orang veteran, Jabatan Hal Ehwal Veteran bersama-sama agensi Kerajaan lain akan menawarkan lima bidang kursus antaranya pengendalian dron, keselamatan siber dan penyelenggaraan pesawat selama tiga bulan,” katanya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat