Oleh Zihan Zari
KUALA LUMPUR – Seramai 30 orang peserta yang terdiri daripada suri rumah, beliawanis dan golongan B40 telah menyertai Makmal Pembangunan dan Pengeluaran Produk Kraf Batik Tanah Liat (Fasa 1) di bawah Projek Pembangunan Kemahiran Komuniti (PPKK) di Laman Tun Razak, Jalan Selimang, Taman Tenaga Cheras, Bandar Tun Razak dekat sini pada 21 hingga 23 Januari 2025.
PPKK berlangsung selama tiga hari itu dianjurkan oleh Kraftangan Malaysia agensi di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dengan kerjasama Pejabat Parlimen Bandar Tun Razak dan Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) Subzon 1.
Kraftangan Malaysia dalam kenyataannya berkata, projek ini
diadakan bertujuan membangun dan mewujudkan komuniti kraf baharu untuk melibatkan diri secara langsung dalam perusahaan kraf bagi menjana pendapatan utama atau sampingan.
Menurutnya, PPKK turut menyasarkan penglibatan peserta yang terdiri daripada golongan belia/beliawanis, asnaf, orang kelainan upaya (OKU), golongan kategori B40 (bandar/desa), golongan suri/ibu tunggal, orang asli/etnik Sabah dan Sarawak di satu-satu kawasan atau daerah.
“Projek ini dilaksanakan melalui tiga aktiviti utama iaitu Makmal Pembangunan dan Pengeluaran Produk Kraf, Kursus keusahawanan dan Simulasi Perniagaan Komuniti.
“Melalui makmal pembangunan dan pengeluaran produk kraf, peserta dilatih dari aspek kemahiran teknikal berdasarkan bidang kraf bersesuaian dengan kumpulan komuniti,”kata kenyataan itu pada Khamis.
“Peserta juga diberi latihan keusahawanan yang merangkumi aspek pengurusan perniagaan, pengurusan kewangan, pengurusan operasi, pemasaran serta teknologi maklumat dan komunikasi.
“Selain daripada itu, peserta turut diberikan pendedahan untuk memasarkan produk secara langsung kepada pelanggan.
“Pelaksanaan makmal terbahagi kepada dua peringkat iaitu penghasilan kain batik tanah liat (21 hingga 23 Januari 2025).
“Manakala penghasilan produk cenderamata kipas tangan serta bunga gubahan yang diperbuat daripada kain batik yang akan dihasilkan pada peringkat pertama pada 4 hingga 6 Februari ini.
“Teknik yang digunakan untuk penghasilan batik tanah liat adalah menggunakan teknik skrin ke atas kain cotton mercerised dan cotton poplin bermotifkan Bunga Raya, Bunga Kertas dan Bunga Matahari,”katanya lagi.
“Pelaksanaan PPKK ini selari dengan Matlamat Pembangunan Mampan atau Sustainable Development Goals (SDG) yang telah dibincangkan oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) pada 2015.
“SDG merupakan koleksi 17 matlamat global meliputi isu pembangunan ekonomi dan sosial yang perlu dicapai oleh negara dalam memastikan pembangunan negara mampan seiring dengan pengagihan ekonomi yang adil dan inklusif kepada semua rakyat, ”tambahnya.
“Kraftangan Malaysia terus komited memastikan kesemua matlamat ini dicapai menjelang 2030 dengan menggalakkan pertumbuhan ekonomi dan menyediakan peluang dalam menjana pendapatan kepada rakyat seperti menyediakan program-program latihan kepada usahawan sedia ada atau kepada penduduk setempat , ”tambahnya lagi. – SUARA.TV