KUALA LUMPUR – Pas berikrar tidak akan tunggang himpunan benci rasuah seperti dibimbangi Gerakan mahasiswa sekretariat perhimpunan berkenaan.
Ketua Penerangan Pas Ahmad Fadhli Shaari malah memberi jaminan, tiada bendera Pas yang akan berkibar esok di himpunan itu.
“Adik-adik jangan bimbang. Kami tidak akan tunggang himpunan ini, silakan berhimpun.
“Pemuda Pas hanya nyatakan sokongan terhadap anda untuk berhimpun sahaja, kerana anda rakyat Malaysia yang bebas. Jadi sepatutnya tiada halangan untuk anda berhimpun atas apa jua sebab.
“Pas juga tiada halangan untuk ahli-ahlinya sertai himpunan ini. Sebagaimana Pas tiada halangan untuk ahlinya ke pasar malam atau ke masjid, ia atas nama individu, bukan atas nama ahli Pas,” tegas Ahli Parlimen Pasir Mas itu lagi.
Berhubung bendera Pas, Fadhli memberi jaminan, tiada bendera Pas yang akan berkibar esok di himpunan ini.
“Jika ada, mohon buat rakaman individu berkenaan untuk disiasat dan dikenakan tindakan jika merupakan ahli parti kami,” ujar beliau.
Terdahulu, Gerakan mahasiswa sekretariat perhimpunan benci rasuah menyambut baik sokongan sayap Pemuda Pad dan Bersatu terhadap demonstrasi yang akan berlangsung Sabtu 25 Jan ini.
Namun, sekretariat itu menegur parti politik berkenaan supaya jangan menjadi hipokrit dan menunggang populariti himpunan benci rasuah untuk kepentingan mereka.
“Pesanan kami kepada Pemuda PAS dan Armada Bersatu: Kami menjemput anda turut serta himpunan ini kerana ini merupakan himpunan untuk semua warga tanpa kira latar belakang parti atau ideologi.
“Tapi kami memberi amaran supaya jangan membawa logo, slogan, nama, dan imej parti ketika menyertai himpunan 25 Januari ini. Himpunan ini sepenuhnya milik rakyat dan bukan kepunyaan parti politik untuk ditunggang,” katanya.