Banjir – jika mahu menunding jari biar tepat

- Advertisement -

EDITORIAL

Klang, Sri Muda, Shah Alam dan Hulu Langat antara kawasan mengalami banjir terburuk kali ini. Ia sesuatu yang luar biasa dan tidak terduga.

Puluhan ribu terperangkap dalam banjir sekelip mata. Di sebalik amaran awal oleh pihak berkuasa, ramai yang memilih kekal di rumah kerana beranggapan banjir sekadar paras lutut.

Namun ternyata empangan, sungai dan terowong Smart tidak mampu menampung hujan yang datang menggila di pantai barat semenanjung. Puluhan ribu terperangkap dalam rumah, memanjat bumbung dan mencari lantai lebih tinggi di pangsapuri-pangspuri yang ada.

Rumah-rumah dua tingkat ditenggelami air, meninggalkan pihak berkuasa dan penyelamat bertungkus lumus mencari jalan melaksanakan operasi menyelamat.

Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Walaupun seawal tengahari jumaat operasi menyelamat telah dilakukan oleh pasukan keselamatan, termasuk Angkatan Tentera Malaysia (ATM). Namun menjelang Sabtu ia menjadi sukar kerana paras air telah terlalu tinggi sehingga menutup rumah dua tingkat.

Bot-bot pasukan penyelamat mula berhadapan risiko melanggar bas, lori, dan kereta yang berada di dalam air. Kita sudah tidak lagi tahu mana satu laluan selamat untuk bot, mana satu boleh menyebabkan kemalangan.

Keselamatan bukan sekadar kepada mereka yang terperangkap tetapi juga anggota penyelamat. Sudah tentu tidak ada yang mahu operasi menyelamat mangsa banjir bertukar menjadi operasi menyelamat anggota penyelamat.

Helikopter juga bukan pilihan dalam banjir di kawasan perumahan seperti ini. Angin kipas helikopter boleh menerbangkan air dan bahan terapung memberi bahaya kepada mangsa banjir yang terperangkap.

Stok bantuan makanan ada, menyampaikannya bukan mudah. Sama seperti operasi menyelamat, operasi memberi bantuan makanan juga berhadapan risiko yang sama.
Kritikan kerana politik?

Realitinya bukan Selangor sahaja mengalami banjir teruk. Pahang juga demikian.
Namun Selangor antara negeri termaju dan mempunyai pengguna media sosial paling aktif tidak pernah berhadapan bencana sedemikian. Penduduknya tidak mempunyai persediaan fizikal dan mental berhadapan banjir besar. Tidak seperti di Pantai Timur, di Selangor amaran banjir dipandang remeh oleh sebahagian orang.

Sebelum ini banjir besar adalah isu tempat lain. Mereka adalah penyumbang kepada bantuan kepada penduduk berhadapan banjir besar. Namun kali ini mereka antara terkesan dan terkejut berhadapan keperitan banjir.

Justeru walaupun banjir terburuk ini bukan sahaja berlaku di Selangor tetapi juga di Pahang, namun kita dapati kemarahan dan fokus kritikan tertumpu kepada pengurusan bencana di Selangor.

Sebagai negeri yang menjadi kubu kuat parti PKR dan DAP, sudah tentu suara kritikan penduduknya akan lebih terarah kepada kerajaan Persekutuan yang ditadbir oleh parti lawan.

Kecaman dan makian media sosial dihalakan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. Perdana Menteri dituduh tidak peduli nasib mereka, tidak mempunyai perancangan menyelamat dan bersuka ria memotong kek ketika banjir.

Tuduhan ini bukan sahaja tidak tepat tetapi lebih bermotifkan politik. Acara-acara Perdana Menteri telah diatur lebih awal dan tidak boleh dibatalkan sesuka hati kerana ia membabitkan pelbagai pihak.

Realitinya banjir menjadi besar dan buruk di Selangor bermula pada petang sabtu sedangkan program Perdana Menteri yang membabitkan Mesyuarat UMNO Bahagian Bera adalah pada sebelah pagi.

Namun untuk rekod, seawal hari jumaat iaitu banjir baru bermula, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) telah memberi taklimat mengenai keadaan banjir.

Pada hari yang sama Perdana Menteri sudah arahkan semua kementerian berkaitan segera mengerakkan semua aset di kawasan terjejas bagi memastikan rakyat diselamatkan dan ditempatkan di pusat pemindahan sementara dengan segera.

Pusat-pusat pemindahaan di seluruh negara termasuk Selangor telah dibuka pada hari yang sama. Arahan memindahkan mangsa banjir juga telah dibuat.

Sekadar kita ulang ingat semula, keadaan banjir mula teruk pada petang Sabtu.
Pada malam tersebut juga Perdana Menteri yang pulang dari Bera, Pahang menamatkan lebih awal program beliau di Hotel Tamu, Kuala Lumpur untuk turun sendiri melihat usaha memindahkan mangsa banjir di Kampung Bukit Lanchong in Putra Heights, Selangor sehingga jam 2 pagi.

Ismail Sabri turut mengumumkan bantuan RM1000.00 untuk setiap Ketua Isi Rumah yang terbabit banjir.

Pada hari yang sama Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussien memaklumkan pihak ATM melalui Briged 11 dan 2 telah berada di Klang, Sepang, Damansara dan Bukit Lanchong sejak Sabtu petang.

Realiti di Selangor

Tanpa mahu menyalahkan sesiapa, tapi adalah sangat menghairankan mengapa kritikan mengenai banjir di Selangor sekadar terarah kepada pihak Persekutuan sedangkan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri di bawah bidang kuasa kerajaan negeri.

Ini belum lagi dipertikaikan tiadanya ahli-ahli Parlimen kawasan terbabit bertindak pada awal banjir. Ahli Parlimen Kota Raja, Shah Alam, Damansara, Klang dan Hulu Langat semuanya dari Pakatan Harapan dan sepasukan dengan kerajaan negeri.

Namun wajah mereka hanya terpampang setelah beberapa hari banjir berlaku, Mereka sekadar melontarkan kritikan kepada kerajaan Persekutuan tanpa menyedari bahawa merekalah sepatutnya menjadi barisan hadapan membantu agensi persekutuan.

Mereka sahaja yang mengetahui mengenai selok belok kawasan mereka berbanding petugas ATM yang di bawa dari tempat lain.

Namun jika dilihat dari media sosial mereka ternyata tidak ada sikap pro-aktif. Malah ada yang tidak segan silu memuat naik gambar sedang bercuti di luar negara. Walaupun kita tahu mereka telah bercuti lebih awal sebelum banjir, namun harus janganlah bersikap lepas tangan dan sekadar menunding jari kepada pihak yang bertungkus lumus membantu rakyat.

Sudah tentu tidak wajar kita mempertikaikan siapa yang gagal bertindak sewajarnya. Jika gagal ia adalah tanggungjawab semua pihak sama ada di peringkat negeri mahu pun persekutuan.Namun kita ketahui semua aset-aset Persekutuan telah digerakkan sebaik mungkin.

Kita bukan sahaja berhadapan banjir di Selangor tetapi juga Perak, Pahang, Kelantan, Terengganu, Negeri Sembilan dan Melaka.Jika berdasarkan kritikan dan ketidakpuasan hati nyata kerajaan negeri Selangor tetalh gagal berbanding negeri-negeri lain.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat