KUALA LUMPUR – Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) sedang giat menyelesaikan banjir genang atau lebih dikenali sebagai banjir termenung dengan kerjasama Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Petronas.

Menterinya, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, sebanyak 21 pam air mudah alih JPS dari pelbagai negeri telah membantu mengepam air di Selangor seawal 20 Disember lagi.

“Banjir genang (banjir termenung) berlaku selepas kejadian banjir disebabkan laluan keluar air (parit utama, sistem saliran atau sungai) terhalang.

“Keadaan topografi yang rendah juga boleh menyebabkan air bergenang dan mengambil masa untuk surut. Kaedah penyelesaian biasa ialah pengepaman air.

“Institut Penyelidikan Hidraulik Kebangsaan Malaysia (NAHRIM) turut membangunkan produk inovatif ‘Water to Mist Sprinkle System’ yang menggunakan pendekatan proses penyejatan aktif yang bertindak balas terhadap suhu, kelajuan dan arah angin,” kata Tuan Ibrahim.

Jelas beliau, keberkesanan produk prototaip ini akan terus dipertingkat melalui kajian terperinci dan pelaksanaan lebih menyeluruh bagi mengurangkan risiko dan impak banjir genang kepada penduduk yang terjejas.

“Turut sama membantu dalam operasi ini ialah pengangkutan dari JPS-JPS Negeri dan juga PETRONAS yang turut menyumbang bekalan diesel bagi operasi pam air mudah alih JPS.

“Alhamdulillah. Air banjir genang (termenung) sudah surut hampir sepenuhnya di Taman Sri Muda, Shah Alam, lewat malam tadi. Pihak JPS akan menutup ban esok. Terima kasih semua petugas JPS, TNB dan PETRONAS,” ucap beliau