“Saya tidur atas lantai masa zaman Najib” – Anwar

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, semasa dipenjarakan pada era pemerintahan Datuk Seri Najib Razak, beliau hanya tidur di atas lantai tanpa sebarang tilam.

Bagaimanapun, beliau hanya menerima tilam daripada pihak penjara selepas pihak perubatan mengesahkan beliau mempunyai masalah tulang belakang.

Justeru, Presiden PKR itu berkata, rungutan sesetengah pihak berhubung keadaan Najib di penjara sehingga menyamakannya dengan keadaan Nelson Mandel tidak harus dilayan.

“Kalau kamu ikut cara saya, saya tak pedulikan perkara-perkara remeh ini. Saya dengar ada yang kata dia menderita dan Anwar dapat layanan lebih baik semasa di penjara.

“Pada masa dia (perintah), saya tak cakap zaman bawah (Tun) Mahathir (Mohamad), saya duduk atas lantai berminggu-minggu sebelum doktor datang dan kata, ‘beri dia katil atas alasan klinikal, untuk masalah belakang dia’.

“Makanan pula tentulah makanan penjara,” kata Anwar dalam wawancara ekslusif dengan Malaysiakini.

Anwar menjalani pemenjaraan 10 tahun sepanjang hidupnya, iaitu 20 bulan bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pada 1970-an, lima tahun dari 1999 hingga 2004 dan tiga tahun dari 2015 hingga 2018.

Ketika ini, ada pihak membuat perbandingan antara layanan yang diterimanya berbanding Najib. Anwar ketika dipenjara pernah di hantar ke Hospital Rehabilitasi Cheras (HRC) semasa menjalani hukuman atas kesalahan liwat.

Sementara itu, dalam laporan berlainan, Anwar menempelak penyokong Najib yang menyamakannya dengan bekas perdana menteri itu.

Pada sidang akhbar di Bangkok semalam, Anwar berkata beliau hanya diberi akses kepada kemudahan rehabilitasi susulan pembedahan di bahunya selepas dikurung lebih 10 tahun.

Katanya, keadaan ketika itu berbeza berbanding Najib, yang dihantar ke HRC lima hari lalu iaitu dalam tempoh tidak hampir sebulan selepas dia memulakan hukuman penjara 12 tahun di Penjara Kajang.

“Ada yang kata Anwar pun tinggal di pusat rehabilitasi … Pertama, saya hanya diberi kemudahan itu di pusat rehabilitasi selepas dikurung lebih 10 tahun di penjara.

“Kedua, saya hanya dihantar ke pusat rehabilitasi selepas pembedahan bahu, maka saya diberikan (kemudahan) itu.

“Jadi, jangan bandingkan pengalaman saya dengan Najib. Jika dia mahu dilayan dengan cara yang sama, jalani dahulu hukuman penjara 10 tahun, kemudian baru dihantar ke pusat rehabilitasi, jika ada pembedahan,” katanya.

Najib dihantar ke penjara pada 23 Ogos selepas mahkamah persekutuan mengekalkan sabitan kesalahannya dalam tujuh peruduhan rasuah yang berkaitan dengan penyelwengan dana SRC International.

Bekas perdana telah berulang alik masuk dan keluar dari hospital sejak dihantar ke penjara. Dua minggu lalu, Najib dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) atas alasan ulser perut – yang menurut keluarganya adalah akibat tekanan yang dihadapinya.

Dia kemudian dibenarkan keluar tetapi dimasukkan semula ke HKL minggu lalu selepas mengadu mempunyai masalah tekanan darah.

Jabatan Penjara pada Rabu lalu mengesahkan bahawa Najib telah dipindahkan ke HRC pada Isnin tetapi berkata, dia akan dihantar kembali ke penjara Kajang setelah diberi pelepasan perubatan.

KKM tidak mendedahkan butiran mengapa Najib terpaksa dimasukkan ke HRC, atas alasan terikat dengan etika yang ditetapkan.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat