Guna KWAN, tindakan kerajaan menggusarkan – Tok Mat

- Advertisement -

KUALA LUMPUR -Tindakan Kerajaan Perikatan Nasional (PN) menggunakan peraturan darurat untuk menggunakan Kumpulan Wang Amanah Negara (KWAN) bagi vaksin dan perbelanjaan yang berkaitan dengannya adalah sangat membimbangkan.

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, tindakan tersebut sangat mengusarkan dan memperlihatkan kerentanan kemampuan Kerajaan dalam mengurus krisis Covid-19.

“Dalam Belanjawan 2021, RM3 bilion telah diperuntukkan untuk vaksinasi 83 peratus rakyat Malaysia.

“Namun, tidak ada penjelasan dan pendedahan yang terperinci tentang bagaimana anggaran itu dibelanja atau diuruskan,” katanya dalam catatan Facebook.

Kata Mohamad lagi, sebulan yang lalu, peruntukan untuk Program Imunisasi Covid Nasional ini ditambah menjadi RM5 bilion.

Menurut beliau tujuannya untuk mempercepatkan sasaran memvaksinkan 80 peratus penduduk menjelang Disember dan bukannya Februari 2022 seperti yang telah diumumkan oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini.

“Jadi mengapa secara tiba-tiba kerajaan sekarang memerlukan dana daripada KWAN?

“Kumpulan Wang Amanah Negara ditubuhkan kira-kira 30 tahun yang lalu untuk kepentingan generasi masa depan memandangkan sumber semula jadi yang negara semakin menyusut.

“Oleh kerana perkara ini adalah berkepentingan nasional, maka seharusnya ia dibincang dan dipertimbangkan secara menyeluruh oleh semua pihak dengan diserta ketelusan yang tinggi.

“Setakat ini, tidak ada perbincangan antara anggota pentadbiran kerajaan dengan wakil rakyat untuk memastikan kewujudan proses semak dan imbang. Bahkan, tidak ada ruang untuk jawatankuasa pilihan Parlimen memastikan ketelusan serta kebertanggungjawaban memandangkan Parlimen masih digantung, impak daripada perisytiharan darurat,” tegas Mohamad.

Katanya, persoalannya, wajarkah kerajaan Perikatan Nasional mempertaruhkan kesejahteraan generasi akan datang serta kelangsungan masa depan mereka tanpa meneroka pilihan lain terlebih dahulu?

“Kita sebenarnya masih boleh mempertimbangkan untuk menawarkan vaksinasi percuma khusus kepada mereka yang tidak mampu. Bagi yang berkemampuan pula, mereka boleh membayar mengikut kadar harga pasaran.

“Mungkin situasi ini bukan pilihan yang terbaik, tetapi ia pasti lebih baik dari memperjudikan masa depan generasi akan datang,” kata beliau.  -SuaraTV

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat