COVID-19: PIBG Kecewa Tiada Pelan Hadapi Krisis

- Advertisement -

BANTING: Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Menengah Sains Banting (Basis) menggesa Bahagian Pengurusan Sekolah Berasrama Penuh (SBP) Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengeluarkan satu prosedur pengurusan khusus dalam menghadapi sebarang krisis atau bencana dalam kalangan pelajar.

Yang Dipertuanya, Datuk Muzamir Mustafa berkata, gesaan itu susulan dua pelajar Tingkatan Satu sekolah terbabit yang didapati positif COVID-19 selepas menjalani saringan pada minggu lalu.

Beliau berkata, kegagalan Pengurusan SBP KPM mengeluarkan prosedur atau pelan pengurusan krisis berkenaan menyebabkan kes positif COVID-19 di sekolah itu meningkat secara mendadak.

“Bayangkan pelajar disahkan positif wabak berkenaan pada minggu lalu, namun Pengurusan SBP KPM hanya menubuhkan jawatankuasa bagi perkara ini pada Selasa lepas.

“Tiada guna baru sekarang nak tubuhkan jawatankuasa sebab angka pelajar positif hari ini (Khamis) sudah mencecah 66 orang.

“Tindakan daripada SBP sangat lambat, malah guru juga tidak didedahkan dengan cara menghadapi krisis. Disebabkan itulah kes meningkat dengan mendadak,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Khamis.

Mengulas lanjut mengenai perkara tersebut, Muzamir berkata, lebih mengecewakan apabila pelajar tidak positif COVID-19 turut terdedah kepada risiko apabila mereka perlu membawa makanan kepada pelajar bergejala yang dikuarantin di asrama.
Katanya, tindakan menempatkan pelajar bergejala di kawasan asrama juga mengundang risiko kepada penuntut lain di sana.

“Sekolah ini mempunyai lebih 800 pelajar dan kawasan asramanya juga kecil. Jadi apa salahnya kalau mereka sediakan hotel murah atau penempatan khas buat pelajar yang bergejala ini agar mereka tidak bercampur,” katanya.

Dalam pada itu, Muzamir berkata, pihaknya juga menjangkakan bilangan kes positif COVID-19 di sekolah berkenaan akan meningkat susulan semua pelajar dan guru akan menjalani saringan pada Jumaat.

Tambah beliau, PIBG Basis berharap agar Pengurusan SBP KKM dapat mengambil tindakan sewajarnya berhubung perkara itu bagi memastikan nasib pelajar terbela.

“Esok (Jumaat) sepatutnya ada mesyuarat berhubung perkara ini, namun PIBG tidak dibenarkan masuk dan saya harapkan mereka dapat buat keputusan terbaik,” katanya.

Sementara itu, seorang bapa pelajar yang enggan namanya disiarkan berkata, pihak sekolah sepatutnya lebih cekap dan membuat tindakan segera apabila ada dalam kalangan pelajar sekolah itu disahkan positif COVID-19.
Jelasnya, segala SOP ditetapkan juga perlu dipatuhi bagi mengurangkan peningkatan risiko jangkitan.

“Saya difahamkan dari segi prosedur operasi standard (SOP) memang ada tetapi pihak sekolah perlu mengawal kadar jangkitan pelajar dengan kadar segera,” katanya.

Selain itu, katanya, KPM perlu memberi keutamaan kepada pelajar Tingkatan Empat dan Lima sahaja meneruskan pembelajaran secara bersemuka.
Ujarnya, kemasukan pelajar dalam jumlah kecil adalah lebih mudah diurus berbanding dengan jumlah besar membabitkan keseluruhan pelajar.

“Misalnya di SBP, kita tidak mahu ada yang bergejala tetapi terlepas pandang masuk ke asrama menyebabkan berlakunya risiko perebakan kes positif COVID-19 meningkat.

“Apabila dalam kumpulan kecil, pergerakan pelajar lebih mudah dikawal,” tegasnya.

Menurutnya, KPM juga diminta supaya mewajibkan semua pelajar SBP menjalani ujian saringan COVID-19 sebelum dibenarkan masuk ke asrama.
“Jika pekerja asing pun kita mewajibkan saringan COVID-19, perkara sama juga sepatutnya dilakukan kepada semua pelajar asrama termasuk di SBP,” katanya.

– Astro Awani

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat