Langkah Sumbang Lagakan PAS Dengan Raja-Raja, Ibarat Penjajah – Hadi

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Langkah melaga-lagakan PAS dengan raja-raja ialah langkah sumbang yang pernah digunakan oleh penjajah dahulu bagi mengekalkan kuasa mereka secara adu domba.

Tindakan melaga-lagakan ini melibatkan antara raja dengan raja, rakyat dengan rakyat, dan raja dengan rakyat.

Percayalah bahawa mereka yang berpura-pura bertopengkan raja-raja inilah yang menghapuskan raja dan membunuh raja sebagai korban di negara jiran Indonesia, sehingga tinggal sultan di Jogja dan Aceh sahaja setelah raja dan rakyat ditipu secara halus, kata Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang.

Jelas beliau, Islam yang datang ke Nusantara ialah Islam yang sempurna sehingga membina tamadunnya sendiri melibatkan raja-raja, para ulamak, dan rakyat.

“Penjajah berjaya menakluk setelah berjaya memecah-belahkan raja-raja, para ulamak, dan rakyat.

“Inilah Islam yang patut menjadi tafsir kepada perkataan ‘Islam’ dalam Perlembagaan Persekutuan Malaysia daripada perkataan ‘al-din’ mengikut bahasa al-Quran, bukannya perkataan ‘religion’ dalam bahasa penjajah,” kata Hadi dalam catatan Minda Presiden PAS pada Rabu.

Tanpa menyebut situasi yang diulasnya, Hadi mungkin membahaskan isu larangan Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam), Shaikh Harun Shaikh Ismail bahawa, Terengganu melarang ahli politik memberikan kuliah, ceramah agama dan khutbah Jumaat di seluruh masjid serta surau negeri itu.

Katanya, larangan itu dibuat agar semua tempat ibadat umat Islam di negeri itu tidak disalah gunakan untuk tujuan politik kepartian.
Mengulas mengenai larangan tersebut, Hadi berkata, larangan itu hanya mengulangi arahan lama sejak 1960-an lagi dan parti sudah laluinya.

“Saya akan teruskan ceramah seperti biasa di surau-surau dan masjid-masjid,” katanya.

Menurut beliau, PAS terpaksa menjadi lilin yang membakar diri sendiri bagi memancarkan cahaya Islam yang menjadi petunjuk di sepanjang jalan.

“PAS terpaksa menghadapi kalangan umat Islam yang tenggelam dalam kejahilan dan bukan Islam yang fanatik jahiliah mereka. Semuanya wajib diselamatkan bersama Islam daripada petunjuk Allah kepada seluruh manusia.

“Islamofobia menjadi senjata baharu bagi menentang Islam habis-habisan, walaupun dengan cara yang salah dan zalim. Caranya memberikan tasawur yang salah terhadap Islam, sehingga digambarkan penuh kejelikan dan keganasan tanpa membaca dan mengkaji sumber ajarannya yang sebenar.

“Hakikatnya, musuh Islam itu sendiri yang menentang Islam dengan keganasan yang paling melampau. Media digunakan sepenuhnya dengan bantuan kewangan dan kepakaran laksana memberikan senjata kepada penjenayah yang menyalahgunakannya.

“Orang-orang yang jahil agama diberikan ruang menulis perkara agama bagi mewujudkan naratif yang sesat dan menyesatkan. Mereka membantu musuh yang pernah dihadapi oleh para anbiya,” jelasnya.

Justeru kata Hadi, PAS tetap memilih pendekatan demokrasi yang damai walaupun berkali-kali mengalami kekalahan pilihan raya dan rebah bangun dalam perjuangan mendirikan kerajaan yang sebenar mengikut dasar dan prinsip Islam yang diperjuangkan.

Tambahnya, PAS tetap memilih pensel dan tangan memangkah undi serta kempen cara damai yang tidak mengorbankan rakyat dengan sia-sia, namun tidak menyerah kalah dalam menghadapi semua bentuk cabaran.

Hadi turut menyingkap situasi mengenai mengapa PAS menarik diri dan tidak bersama gerakan yang dianjurkan oleh NGO yang bernama BERSIH suatu ketika dahulu?

Katanya, sewaktu slogan ‘reformasi’ yang menjadi slogan PKR dilaungkan sekuat-kuatnya ketika menganjurkan demonstrasi jalanan, PAS tidak menentang demonstrasi secara mutlak.

“Akan tetapi, PAS tidak menyalahgunakannya sekali-kali laksana kanak-kanak menggunakan api yang boleh membakar rumah sendiri, bukan untuk memasak mahupun mengambil manfaat daripada tenaga dan cahayanya.

“Apabila PAS menarik diri daripada gerakan tersebut, ternyata kekuatan PAS yang sebenar telah dipergunakan untuk suatu agenda yang salah. Jentera PAS digunakan juga untuk pilihan raya bagi memenangkan rakan gabungan Barisan Alternatif (BA) dan Pakatan Rakyat (PR) yang tiada jentera yang cukup kerana tidak memiliki cawangan yang banyak.

“Sudah terlalu banyak sumbangan harta dan tenaga ahli PAS dikorbankan demi berkawan, di samping menahan sabar oleh tindakan dan kenyataan yang bercanggah dengan prinsip dan konsep perjuangan Islam,” imbau beliau lagi.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat