Sebab tak sokong Muhyiddin, saya didakwa – Syed Saddiq

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Bekas Ketua Armada Bersatu, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman memberitahu Mahkamah Tinggi hari ini bahawa beliau didakwa kerana tidak menyokong Perdana Menteri ketika itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang juga Presiden Bersatu.

Syed Saddiq yang juga Ahli Parlimen Muar ketika pemeriksaan semula oleh peguam belanya, Gobind Singh Deo menyifatkan perkara itu sebagai sesuatu yang salah.

“Permintaan untuk menyokong Muhyiddin walaupun saya tiada masalah peribadi dengannya. Namun, jika perkara itu (menyokong kepimpinan Muhyiddin) akan menghentikan pendakwaan (terhadap saya), ia salah.

“Pegawai penyiasat sendiri menyiasat dan menyerbu rumah saya. Dia bersama saya setiap hari ketika dibawa untuk proses siasatan dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Untuk pegawai penyiasat itu memberitahu SPRM adalah alat politik apabila tukar kerajaan dan saya adalah mangsa pendakwaan politik, itu tidak betul dan berharap ia diperbetulkan. Saya tidak mahu musuh politik berhadapan perkara sama,” katanya lapor BH pada Khamis.

Anak kelahiran Johor Bahru itu didakwa bersubahat dengan bekas Penolong Bendahari Armada, Rafiq Hakim Razali yang diamanahkan dana RM1 juta, untuk melakukan pecah amanah dengan menyalahgunakan dana itu di CIMB Bank Berhad, Menara CIMB KL Sentral, Jalan Sentral 2 pada 6 Mac 2020.

Syed Saddiq juga didakwa menyalah guna RM120,000 daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik Armada Bumi Bersatu Enterprise (ABBE) untuk diri sendiri dengan menyebabkan Rafiq Hakim melupuskan wang itu di Malayan Banking Berhad, Jalan Pandan 3/6A, Taman Pandan Jaya di sini antara 8 dan 21 April 2018.

Selain itu, Ahli Parlimen Muar itu berdepan dua pertuduhan membabitkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram iaitu memindahkan wang masing-masing RM50,000 dalam akaun Maybank Islamic Berhad miliknya ke akaun Amanah Saham Bumiputera miliknya, dipercayai hasil aktiviti haram, di sebuah bank di Jalan Persisiran Perling, Taman Perling, Johor Bahru pada 16 dan 19 Jun 2018.

Syed Saddiq ketika pemeriksaan balas oleh Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin, pula mengesahkan dana RM120,000 hasil dua majlis amal dimasukkan ke akaun peribadinya daripada akaun ABBE milik Rafiq Hakim.

Majlis itu membabitkan Makan Amal Muo dan ‘Fund-raising Battle’ masing-masing di Muar dan De Palma Hotel, Ampang pada 7 serta 8 April 2018.

Beliau mengesahkan tidak menunjukkan sebarang resit untuk perbelanjaan kempen Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) di Muar kepada Rafiq sebelum meminta wang itu dimasukkan ke akaunnya.

Ahli Parlimen Muar itu tidak memaklumkan kepada Rafiq bahawa RM120,000 adalah bayaran balik kepada perbelanjaan kempennya sebagai calon wakil rakyat.

Wan Shaharuddin: Yang memindahkan wang itu adalah Rafiq kerana beliau adalah pemilik akaun ABBE, betul?

Syed Saddiq: Betul.

Wan Shaharuddin: Dia (Rafiq) menjaga wang dalam ABBE, betul?

Syed Saddiq: Betul.

Wan Shaharuddin: Dia mempunyai kata laluan akaun itu untuk tujuan pemindahan dan penggunaan wang, betul?

Syed Saddiq: Betul.

Wan Shaharuddin: Awak tiada kemampuan atau kebolehan untuk menggunakan sendiri wang dalam akaun ABBE, betul?

Syed Saddiq: Betul.

Wan Shaharuddin: Awak boleh beritahu kepada Rafiq mengenai perbelanjaan itu?

Syed Saddiq: Boleh.

Wan Shaharuddin: Sebab dalam kes ini awak menipu, setuju atau tidak?

Syed Saddiq: Tidak setuju.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Azhar Abdul Hamid bersambung esok.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat