PUTRAJAYA – Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) mengeluarkan kenyataan media menyindir Ketua Task Force Pemantauan Kluster Makanan (NACCOL), Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal agar merujuk kepada pihak yang berautoriti sebelum membuat kenyataan bagi membolehkan rakyat mendapat maklumat sebenar.
Dalam kenyataan media tiga para itu, KPKM menyatakan mereka ingin merujuk kepada kenyataan oleh Syed Abu Hussin bin Hafiz Syed Abdul Fasal, Ahli Parlimen Bukit Gantang seperti dilaporkan
dalam beberapa media berhubung “Isu Beras Putih Tempatan (BPT)” pada 21 Januari 2025.
“KPKM menegaskan setiap isu berkaitan padi dan beras hendaklah dirujuk kepada pihak berautoriti supaya rakyat mendapat maklumat yang tepat.
KPKM sentiasa komited untuk mencari penyelesaian terbaik melalui pelaksanaan reformasi industri padi dan beras secara menyeluruh untuk meningkatkan daya saing industri, memperkukuh kebajikan pesawah serta menjamin bekalan beras negara.
“Langkah-langkah yang bakal diambil bagi memastikan keberadaan BPT di pasaran akan dimaklumkan setelah perincian mengenainya dipersetujui oleh Kerajaan,” tegas kenyataan media tersebut.
Beberapa hari lalu, Syed Abu Hussin menyatakan hasrat untuk mengambil tanggungjawab menyelesaikan isu padi dan beras yang sudah berlarutan lebih dua tahun.
“Saya nak minta Perdana Menteri meletakkan portfolio urusan padi, penambahan hasil padi, dan urusan beras di bawah NACCOL. Saya mengambil tanggungjawab untuk selesaikan isu ini.
“Bagi saya masa tiga bulan sahaja, Insya-Allah saya boleh selesaikan. Saya akan buat cadangan tanpa ada gangguan. Kementerian dan kawal selia padi tidak boleh buat gangguan, tak boleh.
“Sementara sahaja, bukan saya minta lama-lama. Tiga bulan sahaja, selepas itu saya serah balik,” katanya.
Syed Abu Hussin, dalam pada itu, turut menempelak Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu kerana dilihat gagal menguruskan isu beras padi di negara ini dengan baik.
Selepas kenyataan Syed Abu Husin itu, Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM) mencadangkan penubuhan suruhanjaya bebas menggantikan Industri Padi dan Beras (IPB) serta Padiberas Nasional Berhad (Bernas) yang didakwa gagal menguruskan isu berkait makanan ruji negara itu.
Pengerusi MTEM Norysharin Hamidon berkata, suruhanjaya itu diyakini dapat membebaskan kedaulatan makanan negara, terutama padi beras yang dilihat terancam isu seperti monopoli, ketirisan agihan bantuan serta subsidi, amalan rasuah dan ketidakcekapan pengurusan.-SUARATV