KUALA LUMPUR – Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM) mencadangkan penubuhan suruhanjaya bebas menggantikan Industri Padi dan Beras (IPB) serta Padiberas Nasional Berhad (Bernas) yang didakwa gagal menguruskan isu berkait makanan ruji negara itu.
Pengerusi MTEM Norysharin Hamidon berkata, suruhanjaya itu diyakini dapat membebaskan kedaulatan makanan negara, terutama padi beras yang dilihat terancam isu seperti monopoli, ketirisan agihan bantuan serta subsidi, amalan rasuah dan ketidakcekapan pengurusan.
Beliau mendakwa isu itu menyebabkan pesawah dan pengilang kecil menjadi mangsa, dengan ada di antaranya bergelut untuk meneruskan operasi, terpaksa menggadai tanah pusaka, menutup kilang dan diisytihar muflis.
“MTEM percaya IPB dan Bernas selaku pemegang amanah industri telah gagal melaksanakan fungsinya, sehubungan itu kami mencadangkan suruhanjaya bebas dibentuk bagi mengambil alih fungsi itu serta-merta.
“MTEM berpandangan fungsi dan peranan asal Lembaga Padi dan Beras Negara (LPN) boleh dikembalikan bersandarkan kejayaan terdahulu.
“Namun, menyerahkan kepada kebijaksanaan suruhanjaya membuat keputusan terbaik berlandaskan musyawarah,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Menurutnya, suruhanjaya itu perlu dianggotai pemegang taruh mewakili pelbagai kepentingan, khususnya pesawah, pengilang kecil dan pengilang Melayu.
Selain itu, katanya, ia perlu melibatkan pemborong, pakar industri dalam kalangan ahli akademik dan teknologi, agensi berkaitan serta tokoh tiada kepentingan.
Beliau mencadangkan suruhanjaya itu menangani segera:
-Peningkatan kos penghasilan padi tidak seimbang yang mencecah RM700 hingga RM1,200 sebulan
-Cadangan harga beras baharu bagi mengimbangi kenaikan kos pengeluaran padi
-Gesaan agensi sokongan padi beras tidak lagi disalah guna atau bersekongkol menekan pesawah menurunkan harga belian di kilang
-Kembalikan penglibatan pengilang beras Bumiputera dengan mewujudkan kuota belian padi di setiap kilang
-Kekang monopoli dan sabotaj kilang besar
Norysharin berkata, Malaysia bakal berdepan krisis keterjaminan makanan parah menjelang 2030, jika kerajaan tidak bertindak segera.