IPT perlu kawal fahaman politik taksub, pecah belah rakyat

- Advertisement -

KUALA LUMPUR -Institusi pengajian tinggi (IPT) yang mempunyai kira-kira 1.3 juta pelajar di seluruh negara perlu mengawal fahaman politik taksub yang boleh memecahbelahkan rakyat.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau bimbang dengan fahaman politik sedemikian yang melampau mempengaruhi penuntut.

Katanya, golongan itu membawa fahaman politik perkauman kononnya orang Melayu sudah ‘habis’ dan Pulau Pinang ‘dikristiankan’ di bawah pentadbiran kerajaannya.

Katanya, golongan itu membawa masuk fahaman sedemikian melalui kebebasan akademik yang dibenarkan di IPT sehingga mempengaruhi pelajar.

“Hal-hal begini kita harus kawal, kalau dia hendak tanya secara baik tidak mengapa. Kalau ikut perangai beberapa orang politik yang terdesak, maka kita rugi.

“Kalau perkara itu benar okey, tapi umpamanya mereka kata sejak Anwar jadi Perdana Menteri, Islam hanyut dan hilang sedangkan program Islam kita lebih mantap, peruntukan untuk Islam lebih tinggi.

“Jadi kena jaga supaya jangan jadi ‘walaun’, tidak boleh fikir langsung sehingga apa yang disebut dianggap sebagai hukum,” katanya pada Program Dialog Mahasiswa Temui Anwar sempena Anugerah Buku Negara 2023 yang dihadiri kira-kira 5,000 mahasiswa Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di universiti berkenaan, di Tanjung Malim, semalam.

Anwar berkata, begitu pun kerajaan tidak menghalang jika ada pihak yang masuk ke universiti dan memberikan pandangan terbuka.

Malah, beliau sama sekali tidak menghalang kritikan terhadap kerajaan.

“Mereka kata kalau Anwar boleh masuk ke universiti, mereka pun hendak masuk. Kalau dia bagi pandangan yang terbuka, saya tidak jadi masalah.

“Tetapi kalau dia bawa kebencian kepada kaum Cina, Dayak dan Kristian semuanya jadi musuh kita, tidak boleh. Saya tidak izinkan.

“Saya tidak izinkan orang menghina, menghukum dan cuba menidakkan orang bukan Islam. Inilah prinsipnya dan saya tidak berkompromi. Mengkritik kerajaan tidak apa, tapi kalau dia langgar dasar, ini tidak boleh.

“Kepada pelajar, gunakan creative mind, kerana dia pakai serban dan dia cakap betul, kita boleh terima tapi kalau dia bohong, walaupun dia pakai jubah, tidak boleh terima jika cakap tidak betul,” lapor Utusan.

Sementara itu, Perdana Menteri berkata, negara mungkin mengalami kerugian perdagangan berikutan keputusan mengharamkan syarikat perkapalan berpangkalan di Israel, ZIM (ZIMIntegrated Shipping Services Ltd) dan mana-mana kapal yang menaikkan bendera Zionis daripada berlabuh di mana-mana pelabuhan di negara ini.

Beliau berkata, namun kesan dari segi perdagangan negara adalah terkawal.

“Berhubung tindakan kita mengharamkan kapal Israel masuk ke negara ini mungkin ada risiko dalam soal perdagangan.

“Saya sudah bincang dengan Anthony Loke (Menteri Pengangkutan) dan Tengku Zafrul (Menteri Perdagangan Antarabangsa, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz) dan mereka kata setakat ini kita masih boleh kawal, mungkin kita rugi sedikit sebab kapal tidak masuk.

“Tetapi ini dia adalah prinsip kemanusiaan kita (terhadap Palestin) ,” katanya.

Anwar turut menempelak pihak pembangkang yang tidak memberikan sebarang reaksi berhubung keputusan kerajaan itu yang mencerminkan sokongan kerajaan Malaysia terhadap rakyat Palestin.

Katanya, malah agak pelik kerana ada pemimpin yang ketika berada dalam kerajaan membenarkan kapal dan pesawat Israel masuk ke negara ini.

“Pada 2002, semasa Tun Mahathir Mohamad (bekas Perdana Menteri) dibenarkan (kapal Israel masuk). Saya kata macam mana, sedangkan Tun Mahathir ini keras melawan Israel, rupa-rupanya dia benarkan kapal Israel masuk.

“Ini kenyataan, pada tahun 2021, pesawat Israel diizinkan masuk ke negara ini sejak dari tahun 2002.

“Keputusan kita tetap melarang kemasukan kapal Israel sebab kanak-kanak dibunuh, negeri dihancurkan sedangkan kita manusia apakah kita sampai tak peduli? Inilah puncak keangkuhan kuasa mereka dengan dokongan Amerika Syarikat,” katanya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat