3 Juta Kanak-Kanak Di Thailand Hidup Gelandangan

- Advertisement -

BANGKOK: Kira-kira tiga juta kanak-kanak di bawah umur 17 tahun di Thailand ditinggalkan ibu bapa mereka yang berhijrah, menurut satu tinjauan.

Hasil tinjauan mengenai kanak-kanak dan wanita di Thailand itu dikeluarkan Pejabat Statistik Nasional (NSO) dan UNICEF, mendedahkan hampir 24 peratus kanak-kanak di bawah usia 17 tahun membesar tanpa penjagaan ibu bapa.

“Peratusan paling tinggi di timur laut Thailand iaitu 36 peratus dan membabitkan kanak-kanak dalam kalangan isi rumah termiskin (39 peratus),” katanya dalam laporan tinjauan itu dilakukan NSO setiap tiga tahun dengan sokongan UNICEF.

Ia mengumpulkan data lebih 150 petunjuk kesihatan, perkembangan serta perlindungan kanak-kanak dan wanita, membabitkan lebih 40,660 isi rumah di seluruh Thailand dari Mei hingga November 2019.

Tinjauan menggariskan kebimbangan serius mengenai masalah pemakanan kanak-kanak, andai dibiarkan ia boleh memberi kesan negatif terhadap perkembangan otak, kesihatan dan kesejahteraan mereka untuk jangka panjang.

Kaji selidik itu mengatakan 13 peratus kanak-kanak di bawah umur lima tahun mengalami masalah tumbesaran, terbantut atau terlalu pendek berbanding usia mereka.

Lapan peratus kanak-kanak mengalami masalah ketinggian atau terlalu kurus manakala sembilan peratus lagi mempunyai berat badan berlebihan.

“Hasil kajian mendapati masalah terbantut, kurang dan berat badan berlebihan menunjukkan trend meningkat sejak 2015 dalam kalangan kanak-kanak di bawah umur lima tahun masing-masing berada pada kadar 11, lima dan lapan peratus.

“Bangkok mempunyai kadar terbantut dan lebih berat badan tertinggi, masing-masing pada tahap 17 peratus,”katanya.

Kadar kelahiran dalam kalangan remaja pula menurun daripada 51 kelahiran bagi setiap 1,000 wanita pada 2015 kepada 23 kelahiran pada 2019.

Sementara itu, Wakil UNICEF untuk Thailand, Thomas Davin, berkata Thailand menunjukkan kemajuan dalam usaha meningkatkan kehidupan jutaan kanak-kanak dalam beberapa dekad kebelakangan ini.

“Bagaimanapun, tinjauan juga menggariskan masalah dalam pemakanan kanak-kanak, kadar berhenti sekolah dan bilangan mereka yang membesar tanpa ibu bapa.

“Keadaan itu boleh merosakkan kesejahteraan kanak-kanak dan mungkin bertambah parah akibat kesan pandemik COVID-19, jika tidak ditangani akan mengundang cabaran lebih kritikal dalam usaha Thailand untuk memanfaatkan potensi modal insan,” katanya.

Tambah beliau, hasil tinjauan itu menjadi isyarat kepada semua pihak bahawa lebih banyak perkara perlu segera dilakukan untuk menghindari masalah yang lebih kronik.

Ketua Pengarah NSO, Wanpen Poonwong, berkata penemuan itu wajar digunakan sebaik mungkin oleh pembuat dasar, agensi kerajaan, akademik, media dan orang ramai untuk dibincangkan dan menangani pelbagai cabaran yang masih membelenggu kehidupan kanak-kanak di Thailand. – BERNAMA

Gambar sekadar hiasan

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat