Sudirman terus dikenang

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: “Bukan gelaran jadi ukuran, tetapi bakti yang disumbangkan. Walau apapun terjadi perjuangan saya dalam persada seni tiada noktah, selagi nadi masih berdenyut dan diterima peminat, selagi itulah saya akan terus berjuang. Dengan kerjaya sebagai penghibur, saya mahu lakukan dengan bersungguh-sungguh supaya masyarakat terus mengingati saya buat selama-lamanya,” demikian ungkapan penghibur nasional, Allahyarham Datuk Sudirman Arshad ketika masih bernyawa.

Nyata, ungkapan seribu makna itu bagaikan doa yang dimakbulkan. Hingga kini, pemergiannya belum ada galang ganti, biarpun genap 30 tahun jasad Penghibur Nombor 1 Asia itu bersemadi, tahun ini.

Jasa, sumbangan dan karya penyanyi jolokan ‘The Singing Lawyer’ itu tetap subur di hati masyarakat apabila meletakkan perjuangan seni dan budaya yang tinggi atas nama tanggungjawab sebagai insan seni dikurniakan bakat dan kreativiti.

Paling bermakna, penghibur kesayangan ramai itu dinobatkan Penghibur Nombor 1 Asia pada Asian Popular Music Awards yang berlangsung di Royal Albert Hall, London pada 19 Mac 1989.

Beliau mengalahkan penyanyi legenda Hong Kong, Leslie Cheung dan superstar dari Singapura, Anita Sarawak.

Justeru, kejayaan Sudirman menjadi kebanggaan negara, sekali gus antara anak Malaysia yang mampu mencipta nama di persada antarabangsa.

Bagi terus memperingati jasa dan sumbangan Sudirman dalam mengharumkan nama negara, Arkib Negara Malaysia (ANM) dengan kerjasama rakan strategik, Kamura Enterprise dan pusat beli-belah Fahrenheit88 mengadakan pameran khas, Warisan Sudir: Tribute Kepada Penghibur Nombor 1 Asia.

Anak saudaranya, Razman Azrai Datuk Zainuddin atau Atai berbesar hati dengan usaha berterusan ANM dalam mengenang jasa arwah.

Katanya, agak sukar buatnya dan keluarga mengadakan pameran besar, apatah lagi, hadir mencemar duli menyempurnakan majlis perasmian adalah Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

 

Atai dan waris Allahyarham Sudirman berbesar hati berkongsi beberapa barangan koleksi peribadi arwah untuk tatapan peminat. - NSTP/Rohanis Shukri
Atai dan waris Allahyarham Sudirman berbesar hati berkongsi beberapa barangan koleksi peribadi arwah untuk tatapan peminat. – NSTP/Rohanis Shukri

 

Justeru, Atai berkata, dia dan keluarga berbesar hati berkongsi beberapa barangan koleksi peribadi arwah untuk tatapan peminat.

“Saya mewakili keluarga menyerahkan beberapa gambar dan sijil milik arwah.

“Kami sangat terharu apabila Tengku Hassanal sudi mencemar duli merasmikan pameran khas, Warisan Sudir: Tribute Kepada Penghibur Nombor 1 Asia.

“Tak lupa, kami juga berterima kasih kepada ANM, pusat beli-belah Fahrenheit88 dan Kamura Enterprise yang menjayakan pameran ini.

“Jujurnya, saya berasakan sepatutnya sudah lama pameran ini diadakan. Menerusi pameran, peminat boleh melihat khazanah berharga milik arwah yang tidak pernah ditunjukkan.

“Saya percaya jika masih ada, inilah yang arwah inginkan. Beliau mahu peminat dapat melihat koleksi peribadi miliknya,” katanya kepada BH Online.

Pameran Warisan Sudir: Tribute kepada Penghibur No 1 Asia berlangsung di Galeri Sudirman di tingkat dua pusat beli-belah Fahrenheit88, Bukit Bintang bermula 11 Ogos lalu hingga 30 September ini. Ia dibuka antara jam 11 pagi hingga 10 malam, setiap hari secara percuma.

Pameran khas berkenaan mempamerkan koleksi terpilih seperti busana dan barangan peribadi yang jarang dipamerkan kepada umum. Ini termasuklah barangan milik peminat setia yang sudi meminjamkan koleksi yang disimpan, selain jualan sagu hati.

Atai berkata, sebanyak 15 peratus daripada hasil jualan sagu hati di pameran akan disalurkan kepada keluarga arwah dan badan kebajikan pilihan.

“Kami akan menyumbangkan sebanyak 15 peratus jualan sagu hati di galeri ini untuk anak yatim dan mereka yang memerlukan,” katanya.

 

Tengku Hassanal bersama Jaafar Sidek melihat koleksi peribadi peninggalan Allahyarham Sudirman yang disimpan Arkib Negara Malaysia. - NSTP/Rohanis Shukri
Tengku Hassanal bersama Jaafar Sidek melihat koleksi peribadi peninggalan Allahyarham Sudirman yang disimpan Arkib Negara Malaysia. – NSTP/Rohanis Shukri

 

Lebih menarik, pameran Warisan Sudir: Tribute Kepada Penghibur Nombor 1 Asia diadakan bagi menyemarakkan sambutan Hari Kemerdekaan Ke-65.

Sementara itu, penyanyi, pelakon dan pelawak popular, Yassin Yahya yang juga tulang belakang menjayakan pameran khas itu berkata, dia menerusi produksi, Yasstar Production bersyukur dapat merealisasikan pameran besar-besaran yang julung kali diadakan selepas 30 tahun pemergian arwah.

“Saya terharu waris arwah dan peminat setia arwah memberi kerjasama dalam merealisasikan pameran khas ini.

“Sebelum ini, tidak lagi diadakan pameran seumpama ini. Ia sebagai usaha memperkenalkan arwah kepada generasi baharu.

“Saya berharap ini bukan pameran terakhir, tetapi boleh diadakan setiap setahun. Ia bukan sahaja untuk orang ramai, tetapi juga buat golongan selebriti seperti saya untuk rasa dihargai,” katanya.

Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi Pahang, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin, Ketua Pengarah ANM, Jaafar Sidek Abdul Rahman dan Ketua Pegawai Eksekutif Fahrenheit88, Datuk Joyce Yap.

Berita Harian

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat